Kanak-kanak 3 tahun hilang lincah, seronok lihat kehadiran tetamu di majlis raya
Bernama
Mei 28, 2022 18:23 MYT
Mei 28, 2022 18:23 MYT
KUANTAN: Kanak-kanak perempuan tiga tahun empat bulan yang didakwa hilang semasa jamuan raya di rumah rakit di Bukit Rangin malam tadi, adalah seorang kanak-kanak lincah dan gembira dengan kehadiran ramai tetamu ke rumah tersebut.
Bapanya Mohamad Sukri Ali, 50, berkata Siti Nur Athhiya Soffea, anak tunggal daripada perkahwinan keduanya juga tidak tidur petang seperti kebiasaan, sebaliknya berkeras mahu mengikutnya membeli dan mengambil barang untuk mengadakan rumah terbuka yang bemula 8 malam itu.
Selain mangsa, Mohamad Sukri mempunyai tiga lagi anak perempuan berusia 26 dan 22 tahun hasil perkahwinan terdahulu.
"Sebelum kejadian, adik (gelaran Siti Nur Athhiya Soffea) duduk di pangkuan saya di bahagian tengah rumah rakit. Sesekali dia mencari ibunya, namun kembali semula kepada saya kerana cawan minumannya ada dengan saya.
"Kali terakhir saya melihat adik ialah semasa dia bersama cucu saya berusia empat tahun masuk ke bilik untuk bermain telefon bimbit sekitar 11 malam," katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumah rakit itu di sini hari ini.
Mohamad Sukri bagaimanapun berkata, nalurinya merasakan anaknya yang turut mesra dipanggil 'Atia' dalam kalangan keluarga tidak jatuh ke dalam sungai kerana dia sudah biasa dengan keadaan di rumah tersebut, selain dua rumah rakit miliknya mempunyai pagar.
Mereka berpindah ke rumah itu selepas rumah asal yang terletak di tebing sungai dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir besar di Pahang awal tahun ini.
Menurut Mohamad Sukri, rumah rakit itu dibina secara beransur-ansur bermula 2020 selepas dia tidak lagi berniaga makanan dan air di tepi jalan di Batu 6 di sini, dan disewakan kepada mereka yang berminat memancing.
"Walaupun tinggal berdepan sungai, adik tidak pernah bermain air...dia pasti menunggu saya atau mamanya jika hendak turun ke rumah rakit. Di rumah rakit juga, dia tidak pernah memanjat pagar menyebabkan sukar untuk saya terima adik terjatuh (sungai).
"Tapi, saya bersedia dengan segala kemungkinan. Ini ujian untuk saya sekeluarga dan harapan kami supaya adik ditemui dalam apa juga keadaan," katanya.
Polis hari ini mengesahkan menerima laporan kehilangan Siti Nur Atthiya Soffea yang didakwa kali terakhir dilihat pada 11.15 malam tadi dan kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang setakat ini kerana tiada siapa melihat kanak-kanak itu terjatuh ke sungai.
Bagaimanapun, siasatan dilakukan daripada setiap aspek, termasuk mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat yang turut disertai bomba di sungai serta kawasan tebing, mengambil kira kemungkinan mangsa terjatuh ke sungai.
-- BERNAMA