Kanak-kanak 2 tahun maut, dipercayai tertinggal lebih 7 jam dalam kereta
Afiezy Azaman
November 9, 2023 14:33 MYT
November 9, 2023 14:33 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta di Ara Damansara, di Petaling Jaya pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima panggilan ibu mangsa yang berusia 30an menyatakan anaknya tidak sedarkan diri di rumah, pada 3.49 petang.
"Hasil siasatan mendapati, ibu mangsa telah menghantar dua anaknya ke sekolah dan seterusnya pergi ke tadika berhampiran untuk menghantar mangsa, pada jam 7 pagi.
"Ketika tiba di tadika, ibu mangsa berhenti seketika untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa di lokasi.
"Ibu mangsa kemudian terus pulang ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada di dalam kereta pada jam 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, bapa mangsa telah membuat panggilan kecemasan dan telah memberi rawatan awal kepada mangsa sehingga pihak ambulans dan polis tiba di tempat kejadian.
"Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan namun telah disahkan meninggal dunia.
"Proses bedah siasat akan dijalankan pada Khamis," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Justeru itu, Mohamad Fakhrudin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan lebih bertanggungjawab dan mementingkan keselamatan anak di bawah jagaan masing-masing.
"Orang ramaj yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222," katanya.