Kanak-kanak 2 tahun ikut bapa memancing ditemui lemas

Astro Awani
Oktober 1, 2023 18:55 MYT
Proses bedah siasat terhadap mangsa selesai kira-kira jam 3 petang Ahad dan jenazah kanak-kanak itu telah dituntut keluarganya untuk proses pengebumian. - Gambar/ Astro AWANI
DUNGUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui lemas di sebuah kolam memancing di Bandar Bukit Besi, Dungun pada Sabtu.
Nur Rania Faizah Mohd Rafi dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam sebelum dijumpai tidak sedarkan diri oleh penjaga kolam kira-kira jam 5.15 petang.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Dungun dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8 malam.
Kanak-kanak itu dikatakan datang bersama keluarganya dari Kampung Landas di Ajil ke kolam memancing itu sempena cuti hujung minggu.
Menurut bapanya, Mohd Rafi Ibrahim, 39, ketika kejadian, dia sedang memancing ikan, manakala isterinya sedang menyusukan bayi lelakinya yang berusia dua bulan di lokasi berbeza.
"Pada awalnya, dia bermain bersama abangnya yang berusia lima tahun tidak jauh dari tempat saya memancing. Kemudian saya sedar anak lelaki saya bermain seorang diri.
"Saya segera meminta pertolongan penjaga kolam untuk mencari anak sebelum dia ditemui di dalam kolam. Saya cuba memberi bantuan pernafasan sebelum membawanya ke hospital," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Maizura Abdul Kadir mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata proses bedah siasat terhadap mangsa selesai kira-kira jam 3 petang Ahad dan jenazah kanak-kanak itu telah dituntut keluarganya untuk proses pengebumian.
Dalam pada itu Maizura turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak leka dan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelak kejadian sama berulang.
#kes lemas #Kanak-kanak #kolam memancing #Dungun
;