Kanak-kanak 12 tahun pandu kereta mengaku tidak bersalah

Astro Awani
Ogos 7, 2024 07:55 MYT
Kanak-kanak berusia 12 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun yang videonya memandu membawa dua adiknya tular baru-baru ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Kanak-kanak itu selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu kereta jenis Perodua Viva, atas jalan walhal umurnya sewaktu kejadian ialah 12 tahun dan tiga bulan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini, pada jam 6.30 petang, 29 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39(5) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding dilakukan secara tertutup dengan kanak-kanak itu ditemani ibunya.
Dalam prosiding sama, bapanya yang juga warga negara Pakistan, didakwa sebagai pemilik kereta berkenaan, didapati telah membenarkan anak lelakinya itu memandu kereta tersebut, di atas jalan, di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi sementara pembelaan bagi kedua-dua OKS itu, diwakili peguam, Nabilla Rosli dari Tetuan Nadia Nabilla Rosli & Syaakirah.
Mahkamah membenarkan kanak-kanak itu diikat jamin sebanyak RM500 manakala bapanya yang bekerja sebagai penjual karpet dan berstatus pemastautin tetap, diberi jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Majistret, Muhammad Bukhori Md Ruslan menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini tular satu rakaman video tular berdurasi satu minit 49 saat, memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta Perodua Viva dengan membawa dua budak lain, dipercayai adiknya.
#video tular #Kanak-kanak #pandu kereta #kes mahkamah