Kanak-kanak 12 tahun pandu kereta: JPJ akan panggil ibu bapa

Bernama
Julai 30, 2024 11:58 MYT
Video tular kanak-kanak berumur 12 tahun yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di sebuah kawasan perumahan. -Media sosial
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memanggil ibu bapa kepada kanak-kanak berumur 12 tahun yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di sebuah kawasan perumahan seperti tular di media sosial.
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya sedia maklum kes tersebut sudah dalam tindakan polis, namun jabatan itu akan turut menjalankan siasatan dan notis kehadiran bantu siasatan telah dikeluarkan kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan.
"Kita biar polis selesaikan dulu siasatan dan selepas itu JPJ akan ambil tindakan berkaitan dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada media selepas Operasi Bersepadu Pemandu Warga Asing JPJ dan Perbadanan Putrajaya (PPj), di sini hari ini.
Semalam, tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.
Menerusi rakaman itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarahkan oleh wanita tersebut supaya memberhentikan kenderaan.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dilaporkan berkata polis telah mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Aedy berkata kompaun juga akan dikenakan kepada ibu bapa terbabit kerana membenarkan anak mereka memandu kenderaan tanpa lesen.
Beliau berkata ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa mengawasi dan tidak membenarkan anak-anak di bawah umur memandu kenderaan di jalan raya.
"Ini adalah peranan dan tanggungjawab ibu bapa untuk memberi teguran kepada anak-anak (supaya) tidak membawa kenderaan tanpa lesen. Kita tak tahu anak-anak ini kadang-kadang ada kemahiran membawa kenderaan tapi sebenarnya mereka tidak layak dan tidak boleh memandu," katanya.
-- BERNAMA
#Kanak-kanak #budak pandu kereta #JPJ #panggil ibu bapa