Kanak-kanak 12 tahun maut insiden kebakaran di Kuala Baram, Miri
Shafik Ahmad
April 12, 2022 20:35 MYT
April 12, 2022 20:35 MYT
MIRI: Seorang kanak-kanak maut manakala seorang warga emas cedera dalam insiden kebakaran sebuah rumah di Kampung Masjid dekat Kuala Baram di sini hari ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhd Ikram Abdullah, 12 tahun manakala Saban Mangkir, 60, melecur di bahagian belakang.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Tiong Ling Hii ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian tersebut.
“Kejadian itu dipercayai berlaku pada 4.59 petang. Bertindak atas panggilan, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng diketuai Hamdani Madon digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai,” katanya.
Menurutnya rumah separuh kekal itu didiami lapan penghuni dan tujuh daripadanya terselamat termasuk seorang bayi berusia lima tahun.
“Bagaimanapun terdapat seorang mangsa ditemukan rentung di bawah timbunan atap zink rumah tersebut selepas pemadaman dilakukan,” katanya.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sementara mangsa cedera dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.
Tambahnya, setakat ini punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.