Kanak-kanak 12 tahun ditemui lemas di dasar sungai
Vivi Sumanti
Februari 15, 2021 22:58 MYT
Februari 15, 2021 22:58 MYT
KOTA BHARU: Seorang kanak kanak perempuan berusia 12 tahun ditemukan lemas di dasar sungai di Kampung Pendek, di sini awal malam ini.
Mangsa dikenali sebagai Aina Maisarah Hashim, ditemukan pada 7.25 malam Isnin oleh penduduk kampung yang menyelam untuk mencarinya sebelum ditemui di dasar sungai beberapa minit selepas kejadian.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, Pegawai Bomba Kanan I Zainal Fitri Husain, pihaknya menerima panggilan 7.20 malam mengenai kejadian lemas di sebuah sungai di Kampung Pendek.
"Seramai enam anggota bergegas ke lokasi dan sebaik tiba pada 7.30 malam, pihaknya mendapati mangsa sudah ditemui dan anggota melakukan bantuan kecemasan, resusitasi kardiopulmonari atau CPR, namun tidak berjaya," katanya di sini.
Setibanya di lokasi kejadian pihaknya dimaklumkan mangsa ditemukan oleh pemancing yang bertindak menyelam untuk mencari mangsa.
Mangsa dikatakan mandi bersama beberapa orang ahli keluarganya di sungai berhampiran rumah mereka.
Mayat mangsa di hantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.