Kanak-kanak 12 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Sat

Sinar Harian
Februari 18, 2024 05:15 MYT
Operasi SAR mangsa dijalankan pasukan penyelamat dengan bantuan penduduk kampung sebelum ditangguhkan pada petang Ahad ekoran cuaca gelap. - Foto Sinar Harian
JERANTUT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Sat di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Azman Mat Khamis berkata, kejadian menimpa mangsa, Mustaqim Rizman dari Kampung Kuala Sat dilaporkan kepada pihak polis oleh penduduk tempatan kira-kira jam 5.56 petang.
Menurutnya, susulan maklumat diterima, pencarian segera dijalankan pihak polis bersama bomba, persatuan pengendali bot dan penduduk kampung.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagaimanapun terpaksa dihentikan ekoran keadaan cuaca gelap dan akan disambung pada Isnin," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Tahan ke lokasi untuk operasi SAR pada Ahad.
Menurutnya, pencarian dijalankan menggunakan bot milik penduduk.
"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Kuantan dan Pekan telah dimaklumkan bagi membantu operasi SAR mangsa," katanya. - Sinar Harian
#Kanak-kanak #lemas #Sungai Kuala Sat #JBPM Pahang
;