Kanak-kanak 11 tahun, remaja lelaki ditemukan lemas di Sungai Masai

Bernama
Mei 20, 2023 14:22 MYT
Pasukan Keluaran Operasi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan mangsa dilaporkan hilang dengan menggunakan teknik 'surface searching' serta selaman oleh pasukan penyelamat di air (PPDA). -Foto Sinar Harian
PASIR GUDANG: Seorang kanak-kanak dan seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh di Sungai Masai berhampiran Pangsapuri Sri Intan, Bandar Seri Alam di sini, malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Danish Ahmad, 11, dan Zahir Ajmal Mohd Idris, 13.
Beliau berkata Pasukan Keluaran Operasi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan mangsa dilaporkan hilang dengan menggunakan teknik 'surface searching' serta selaman oleh pasukan penyelamat di air (PPDA).
"Mohd Danish berjaya dijumpai kira-kira pukul 5.06 pagi, manakala Zahir Ajmal dijumpai pada pukul 7.38 pagi pada jarak 50 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas, dan kedalaman air dianggarkan kira-kira tiga meter.
"Jenazah mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.33 pagi, " katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.31 malam sebelum 13 anggota dari BBP Pasir Gudang dan enam anggota PPDA dari BBP Skudai digegaskan ke lokasi kejadian.
-- BERNAMA
#Sungai Masai #Pangsapuri Sri Intan #Mohd Danish Ahmad #Zahir Ajmal Mohd Idris
;