Kanak-kanak 10 tahun pandu kereta, akibatkan kemalangan

Bernama
September 4, 2024 00:32 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki di sini dikesan memandu sebuah kereta milik ibu bapanya sehingga mengakibatkan kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian semalam. - Foto ihsan polis
SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki di sini dikesan memandu sebuah kereta milik ibu bapanya sehingga mengakibatkan kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, kanak-kanak berusia 10 tahun itu memandu kereta jenis Toyota Corolla bersama penumpang yang juga jirannya berusia sembilan tahun.
"Siasatan awal mendapati mereka dari arah pangsapuri Arowana Impian ke Taman Arowana Impian dan sebaik sampai ke lokasi kejadian, kereta dipandu kanak-kanak itu terbabas ketika melalui selekoh sebelum merempuh sebuah van yang diparkir di bahu jalan.
"Akibat pelanggaran tersebut, van itu kemudian menggelongsor ke hadapan dan melanggar kereta Perodua Kancil yang diparkir di hadapan van tersebut," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Mohamad Hatta berkata bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil kepada pemandu yang melakukan kesalahan, dan jika pemandu itu adalah kanak-kanak, maka ibu bapa atau penjaga mereka juga akan turut dikenakan tindakan tegas.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes di talian 016-4830853 atau balai berhampiran untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 111 akta sama, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
--BERNAMA
#kanak-kanak 10 tahun #pandu kereta #kemalangan #Jalan Arowana 2