Kanak-kanak 10 tahun maut jatuh laut ketika memancing

Sinar Harian
November 3, 2023 09:30 MYT
Bomba dan orang ramai di lokasi kanak-kanak lelaki berkenaan ditemui. - Foto BBP Rengit/Sinar Harian
BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia dipercayai akibat lemas setelah terjatuh ketika memancing di Sungai Lurus, Senggarang, Rengit di sini, pada Khamis.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Khairul Azmi Ngatman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.47 petang.
Katanya, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan tujuh anggota bomba dari BBP Rengit dihantar ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) ke lokasi, didapati seorang kanak-kanak lelaki telah terjatuh ke laut ketika memancing di kawasan jambatan terapung di kawasan tersebut.
“Mangsa kemudiannya ditemui terdampar di tepi pantai oleh orang awam pada jam 9.15 malam iaitu pada jarak sekitar 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sekitar jam 11 malam. - Sinar Harian
#lemas #kanak-kanak maut #Memancing #Sungai Lurus
;