Kanak-kanak 10 tahun dihanyutkan kepala air

Astro Awani
Jun 12, 2020 00:29 MYT
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Shah Alam melakukan operasi mencari dan menyelamat.
Gara-gara bermain di tepi longkang, seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air dekat anak Sungai Bakau, Rawang di Selangor.
Menurut Ketua Balai Bomba Daerah Gombak, Samsol Maarif Saibani, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung mangsa yang berusia 10 tahun itu pada jam 3.49 petang Jumaat.
“Mangsa dipercayai telah jatuh anggaran sehingga satu kilometer di belakang apartmen Rajawali.
“Mangsa dipercayai tinggal di Blok Merak Apartmen Rajawali Country Homes dan sedang bermain dengan abangnya di gigi sungai.
“Sewaktu hujan lebat mangsa dibawa oleh arus deras menyebabkan mangsa tenggelam petang tadi,” jelasnya.
Difahamkan ketika kejadian cuaca hujan serta mendung dengan paras air sungai pula kira-kira satu meter.
Kerja mencari mangsa membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Shah Alam.
#bomba #hanyut #lemas #Rawang #Samsol Maarif Saibani #Sungai Bakau #tepi longkang
;