Kanada mahu tingkat kerjasama dengan Malaysia dalam bidang keselamatan, ekonomi

Bernama
Oktober 6, 2013 08:27 MYT
Kanada mahu meningkatkan lagi kerjasama dengan Malaysia dalam bidang keselamatan serta perdagangan dan pelaburan, kata Perdana Menteri Kanada Stephen Harper.
Perdana Menteri itu berkata beliau lebih faham mengenai potensi kerjasama keselamatan itu semasa melawat ibu pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia semalam.
"Kami juga menyaksikan pemeteraian kontrak komersial oleh OSI Maritime System Ltd dan Tentera Laut Diraja Malaysia hari ini," katanya dalam sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mesyuarat dua hala mereka di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan dua hala mencatatkan peningkatan ketara.
"Terdapat potensi luas dalam kedua-dua bidang," katanya.
Harper juga berkata syarikat-syarikat Malaysia berkembang maju di Kanada dan begitu dengan firma-firma Kanada di Malaysia.
Mengenai projek gas asli cecair Petronas bernilai 36 bilion dollar Kanada di Kanada, beliau berkata pelaburan besar Petronas itu memberikan petunjuk positif bahawa syarikat minyak gergasi itu mahu meningkatkan pelaburan dengan kerajaan Kanada.
"Kami amat teruja dengan kemungkinan ini dan kami juga ada berbincang mengenai sektor tenaga," katanya.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai Deklarasi Hasrat untuk Menandatangani Perjanjian Baharu bagi Pengelakan Percukaian Dua Kali dan Pencegahan Pelarian Fiskal dari segi cukai pendapatan antara Malaysia dan Kanada.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #Kanada #Malaysia #Najib Tun Razak #Petronas #Stephen Harper #Tentera Laut Diraja Malaysia