Kanabis perubatan: Syed Saddiq puji jawapan Khairy, bukan hanya 'sedang dikaji'
Nursyazwani Saiful Sham
November 9, 2021 05:50 MYT
November 9, 2021 05:50 MYT
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuji jawapan yang diberikan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu berkaitan penggunaan kanabis untuk perubatan.
Menerusi perkongsian di Facebook peribadinya, Syed Saddiq mengakui kagum dengan jawapan bertulis Dewan Rakyat yang diberikan Khairy dan pasukannya dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Saya sangat kagum dengan jawapan diberi Khairy dan pasukannya di KKM. Proses membuat keputusan berdasarkan data dan sains.
"Medical cannabis dibenarkan apabila memenuhi pra-syaratnya. Sekiranya boleh dibuktikan melalui sains, ia boleh didaftar. Kerajaan akan membantu," kata Syed Saddiq.
Antara lain, jawapan bertulis tersebut menyatakan keputusan penggunaan hemp atau kanabis untuk berubatan akan dilakukan berdasarkan data dan ujikaji sains yang sedang dijalankan.
Jelas Syed Saddiq, jawapan Khairy tersebut memberi sinar baharu bagi industri medical cannabis dan penggunaannya.
"Selalunya saya hanya dapat jawapan pendek sahaja yang menyatakan 'sedang dikaji' atau 'tunggu semakan' dan sebagainya.
"Ini memberi harapan. Nampak pasukannya buat kaji selidik yang mendalam dan ambil tindakan, bukan sekadar jawab kerana terpaksa. Terima kasih," katanya.
Dalam jawapan bertulis Khairy, beliau menyatakan sekiranya terdapat cukup bukti saintifik menyokong penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan, mengambil kira aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan, permohonan untuk mendaftarkannya boleh dikemukakan kepada pihak berkuasa kawalan dadah.
Ia akan dinilai dan didaftar di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 untuk dipasarkan di Malaysia.
Katanya, akta sedia ada yang mengawal selia kanabis dan hasilnya di Malaysia, melalui Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952, tidak menghalang penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.
Sebelum ini, satu kaukus baru ditubuhkan untuk mengkaji isu kawal selia penggunaan ketum dan kanabis untuk perubatan dan ia diketuai oleh Syed Saddiq.
Kaukus Medical Cannabis itu diwakili Ahli-Ahli Parlimen merentas pelbagai parti, sebagai salah satu usaha bipartisan yang murni dalam merangka dasar dan strategi untuk mengkaji kawal selia penggunaan ketum dan kanabis untuk perubatan.