Kanabis perlu dalam rawatan sesetengah penyakit, wajar bagi tujuan perubatan - Pakar
Raja Hisyam Raja Zaid
September 28, 2022 12:30 MYT
September 28, 2022 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sebahagian pakar dan pengkaji perubatan di negara ini menganggap sudah sampai masanya Malaysia mengikut langkah diambil lebih 40 negara yang membenarkan penggunaan kanabis dalam bidang perubatan.
Menurut Ketua Fakulti Perubatan Universiti Mahsa Prof Dr Muhamad Hussain Habil, terdapat keperluan perubatan ketika ini yang memerlukan penggunaan bahan tersebut yang didapati berkesan jika digunakan terhadap beberapa penyakit yang sering dialami rakyat di negara ini.
“Pengalaman saya lebih kepada mereka yang mengalami masalah autisme atau autism spectrum disorder (ASD).
"Yang kedua adalah gangguan penyakit kronik (chronic pain disorder) iaitu mereka yang mengalami masalah sakit tanpa mengetahui puncanya.
“Penyakit ini selalunya mereka sudah cuba pelbagai jenis ubat yang ada ,tetapi masih buntu untuk melihat pesakit ini pulih.
"Maka kita cadangkan kanabis (menerusi) cannobidol (CBD),” katanya pada sidang media ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa Bagi Membincangkan Hala Tuju Penggunaan Kanabis Bagi Tujuan Perubatan, di sini, hari ini.
Selain itu, katanya bahan dari kanabis juga amat diperlukan bagi pesakit yang mengalami kemurungan berterusan.
Malah, ia juga amat berkesan dalam mengubati pesakit yang mengalami masalah penyakit saraf atau Parkinson.
Tambahnya, ubat-ubatan yang digunakan ketika ini kebanyakannya masih belum mampu memberi kesan mujarab untuk menyembuhkan pesakit yang mengalami masalah Parkinson.
“Ada juga pesakit yang mengalami penyakit bipolar dan dalam kalangan mereka dapat dipulihkan dengan campuran CBD bersama ubatan lain yang digunakan,” katanya lagi.
Namun, menurut Muhammad Hussain, kekangan ke atas penggunaan bahan itu dalam perubatan di negara ini telah menyebabkan ramai pesakit yang menghidapi penyakit tersebut memilih untuk mendapatkan bahan CBD di pasaran gelap.
Ini menyebabkan pesakit terpaksa membayar harga yang terlalu mahal mencecah ribuan ringgit untuk mendapatkannya.
Kerajaan, katanya, hanya perlu membuat sedikit perubahan ke atas polisi sedia ada tanpa perlu meminda akta atau membentangkan cadangan tersebut di Dewan Rakyat.
“Sebab polisi di bawah Akta Perubatan itu yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah jelas, kalau (kegunaan) atas tujuan perubatan.
“Tidak perlu masuk Parlimen. Apa yang perlu YB Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan) tandatangan dengan mengakuinya dan disokong oleh Ketua Pengarah kesihatan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya lagi, satu kaedah atau mekanisme perlu diwujudkan agar tidak berlaku penyalahgunaan bahan tersebut, dengan syarat yang diperketatkan oleh pihak berkuasa.
Muhamad Hussain merupakan antara panel yang membentangkan pandangan di konvensyen berkenaan yang turut dihadiri puluhan pakar dari universiti tempatan dan luar negara.
Persidangan bertujuan menyediakan platform perbincangan mengenai draf penyelidikan, praktis klinikal dan hala tuju berkenaan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan dan industri di Malaysia.
Ketika ini lebih 47 negara telah meluluskan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan di seluruh dunia.
Ogos lalu ,Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengadakan lawatan kerja ke Thailand selama empat hari bagi mengkaji amalan, kaedah penanaman, penyelidikan dan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan.