'Kamu adalah hero saya' kata kanak-kanak tersepit kaki kepada bomba
Bernama
Februari 26, 2021 12:30 MYT
Februari 26, 2021 12:30 MYT
JOHOR BAHRU: "Kamu adalah hero saya," berulang kali Raydon Koh mengungkapkan ayat itu kepada anggota bomba ketika mengeluarkan kaki kanannya yang tersepit di dalam saluran paip lubang tandas rumahnya di Taman Sutera Dahlia sini, malam tadi.
Malah, sepanjang proses mengeluarkan kakinya itu, kanak-kanak berusia tiga tahun itu juga tidak menangis walaupun terpaksa menahan kesakitan selama sejam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, PBK II Mohamad Nazaruddin Ahmad Zainuddin berkata, pada kejadian 11.22 malam itu, ibu Koh memberitahu anaknya itu bersendirian ke bilik air untuk membuang air sebelum kaki kanannya tersangkut sehingga paras lutut.
"Pemeriksaan dilakukan pada saluran paip dan sebahagian daripada saluran tersebut dipotong dengan menggunakan peralatan khas dan kaki kanak-kanak tersebut berjaya dikeluarkan dalam masa tujuh minit," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.
Mohamad Nazaruddin berkata, kanak-kanak itu sempat mengucapkan penghargaan dengan mengatakan anggota bomba yang menyelamatkannya sebagai heronya dan ketika proses mengeluarkan kakinya, kanak-kanak itu tidak menangis dan hanya menjerit apabila terasa sakit.
"Dia juga berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan yang teruk," katanya dan menambah pihaknya menasihatkan ibu bapa kanak-kanak itu supaya membawa anak mereka ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Seramai 13 anggota dengan sebuah jentera, satu unit Emergency Rescue Medical Services (EMRS) dan tiga Rapid Intervention Motorcycle (RIM) ditugaskan menyelamatkan mangsa. - BERNAMA
#Raydon Koh
#kaki kanan tersepit
#saluran paip lubang tandas
#bomba
#Taman Sutera Dahlia
#Johor Bahru
#Emergency Rescue Medical Services