Kamu ada 40 minit sahaja

Wan Syamsul Amly
Mac 30, 2013 20:01 MYT
EMPAT puluh minit, itu masa yang diberi kepada penduduk Kampung Tanjung Labian untuk meninjau dan menilai kerosakan rumah selepas hampir satu bulan Ops Daulat - lebih kurang sama juga kiraan hari mereka tidak balik ke kediaman masing-masing.
Tinjauan hari ini ceritanya sama sahaja seperti semalam, sedihnya tidak jauh beza dengan wakil penduduk Kampung Tanjung Batu yang diberi peluang meninjau rumah, esak penduduk yang kehilangan rumah juga tidak saya andaikan sama.
Ada rumah yang dapat diselamatkan, tapi jumlahnya sangat kecil, paling kasihan kediaman yang diishtihar musnah sama sekali (Total loss) akibat dibakar atau ranap kerana bedilan mortar.
Anggota keselamatan memulakan prosedur tinjauan dengan memberi penerangan - semua duduk di bawah pokok ;
``Saya beri kamu masa 40 minit untuk tinjau ke dalam rumah, jangan ambil apa-apa, jangan bawa balik kelongsong peluru, tengok sahaja, jangan lambat, maklum kerosakan untuk urusan penilaian nanti.
``Kalau rumah yang total loss, sila maklumkan rumah yang mana, jangan risau sebab agensi berkenaan akan bantu."
Penduduk yang saya kira faham dengan penerangan itu bangkit dan berjalan menuju rumah masing-masing. Semua dikawal anggota keselamatan. Mana yang jauh pula dihantar dengan pacuan empat roda - tetapi semua kena ingat - masanya tetap 40 minit.
Tamat masa yang diberi, wakil penduduk berbondong-bondong ke bawah pokok semula - mereka berkumpul ikut dewan penempatan sementara dan saya lihat pada masa ini wajah setiap orang memikirkan bait-bait ayat paling sesuai untuk menerangkan situasi terkini kepada ahli keluarga.
Terkejut, hendak pengsan, sedih, pasrah, dan pelbagai lagi perkataan melankolik digunakan sahabat petugas media yang merujuk perasaan penduduk Kampung Tanjung Labian pada masa ini.
Ditambah visual air mata, kemusnahan rumah akibat terbakar, dinding berlubang akibat peluru atau mortar, ia melengkapkan situasi di sini untuk dirasa penonton atau pembaca saluran media masing-masing.
Seorang pegawai memberi taklimat penutup, dua tiga perenggan pertama dia bercakap dalam bahasa kebangsaan, isinya ulangan taklimat awal yang diselit isi - jangan ambil apa-apa, akan pindah ke rumah petang atau Ahad dan total loss.
Kemudian dia menyambung dalam bahasa Bajau, saya lihat penduduk mengangguk-angguk.
Sidang media Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib pada sebelah petang mengulangi kenyataan - penduduk di Kampung Tanjung Labian dan Tanjung Batu sudah dibenarkan berpindah.
Pada sebelah pagi Hamza berkata kepada wakil penduduk - pusat pemindahan akan ditutup satu persatu dalam masa terdekat selain dipindahkan ke rumah atau balai raya di kampung masing-masing.
Saya hairan, bagaimana penduduk ini hendak pindah dan meneruskan kehidupan harian dengan bekalan elektrik dan air yang sudah lama diputuskan?
Paling menakutkan, semua tahu saki baki pengganas masih ada dan penduduk turut diberi amaran tidak dibenarkan mencari rezeki ke laut atau ladang tanaman - Hamza kata bekalan makanan akan dihantar agensi berkenaan.
Oh lupa, semasa mengikut penduduk meninjau rumah, saya mendengar sendiri dua das tembakan dari kampung berhampiran - semua diam.
Tidak apalah kalau sudah ada perancangan, tetapi apa pula kaedah yang akan digunakan untuk `menyumbat' penduduk jika umum tahu kapasiti balai raya kampung tidak sebesar dewan pemindahan sementara?
Itu tidak termasuk bilangan pemilik kediaman yang musnah 100 peratus selain lebih setengah daripada jumlah keseluruhan rumah terpaksa diperbetulkan semula sebelum boleh diduduki - pasti ambil masa.
Sebelum balik ke pusat media, saya ditanya seorang wakil Kampung Tanjung Labian;
``Total loss itu apa?"
#Filipina #Lahad Datu #operasi daulat #Ops Daulat #Sabah #Sulu #wan syamsul amly
;