Kampus Pintar seiring Revolusi Industri 4.0
Harits Asyraf Hasnan
Mac 15, 2018 12:54 MYT
Mac 15, 2018 12:54 MYT
Pelaksanaan program kampus tanpa tunai tidak membebankan sebaliknya memberi manfaat kepada mahasiswa.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada gaya hidup digital yang seiring dengan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
"Kerajaan telah memperkenalkan program kampus tanpa tunai yang merupakan salah satu inisiatif untuk menyokong gaya hidup digital bersesuaian dengan kaedah pembelajaran dan pengajaran baru dalam usaha mendepani gelombang IR4.0.
"Pelaksanaan program ini tidak membebankan pelajar tetapi memberi pelbagai manfaat kepada mahasiswa.
"Antaranya ialah melakukan transaksi yang ringkas dan cepat untuk segala urusniaga dalam kampus, mengubah tingkah laku berbelanja mahasiswa yang lebih selamat dan membudayakan penyimpanan rekod urusniaga secara lebih teratur," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang meminta Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan tujuan Kementerian mentransformasikan semua universiti awam sebagai sebuah kampus tanpa tunai atau kampus pintar dan kesannya kepada kehidupan harian pelajar.
Jelas Mary lagi, langkah ini telah dimulakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 22 Jan lalu di mana universiti awam (UA) itu berhasrat untuk menjadi kampus terbesar yang menjalankan urusan tanpa tunai dan tanpa kad di negara ini.
"Menjelang hujung tahun 2018, UiTM akan memperluaskan kaedah transaksi tanpa tunai ini ke kampus-kampus UiTM di seluruh negara," katanya.
Selain UiTM, kampus pintar turut dilaksanakan di beberapa UA yang lain antaranya Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
#digital transaction
#Fourth Industrial Revolution
#industry 4 0
#Industry Revolution 4 0
#IR4 0
#kampus pintar
#Kementerian Pendidikan Tinggi
#KPT
#pendidikan
#revolusin industri 4 0
#smart campus
#transaksi digital
#universiti