Kampus induk UUM ditutup, staf diarah bekerja dari rumah
Ridauddin Daud
Oktober 4, 2020 00:33 MYT
Oktober 4, 2020 00:33 MYT
SINTOK: Kampus Induk Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah ditutup bermula tengah malam ini, 5 Oktober 2020 pada jam 12.01 malam sehingga 8 Oktober 2020 bagi mengekang penularan virus COVID-19.
Universiti itu dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, semua sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi pelajar asasi perlu dibuat secara dalam talian.
Menurutnya, sepanjang tempoh empat hari itu juga, UUM memutuskan tiada staf dibenarkan memasuki kampus tersebut kecuali dengan kebenaran pendaftar dan mereka dikehendaki bekerja dari rumah (WFH) kecuali bagi staf ‘essential services’
“Pelajar juga tidak dibenarkan memasuki Kampus Induk Universiti kecuali dengan kebenaran daripada Timbalan Naib Canselor dan semua pelajar yang telah berada di dalam kampus tidak dibenarkan keluar dari kawasan kampus.
“Bagi pelajar yang tinggal secara berkeluarga, ketua keluarga boleh dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan yang tidak dapat diperolehi di dalam kampus dengan kebenaran Pengetua Inasis masing-masing.
“Semua pelajar yang berada di Inasis Yayasan Al-Bukhary (YAB) adalah dilarang sama sekali keluar dari kawasan Inasis. Inasis ini akan dikawal secara 24 jam oleh pihak Keselamatan Universiti,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, UUM juga mengambil langkah pencegahan dengan melakukan operasi sanitasi di kawasan terlibat.
“Pengurusan Universiti amat berharap agar semua warga kampus sentiasa mengamalkan norma baharu serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan dan Universiti agar rantaian jangkitan COVID19 ini dapat diputuskan,” ujarnya.
#SOP
#Kedah
#pelajar
#keselamatan
#keluarga
#Malaysia
#koronavirus
#pengajaran dan pembelajaran
#WFH
#UUM
#COVID-19
#universiti utara malaysia
#kampus induk