Kampus digital wujudkan 'ekonomi pintar' - Idris Jusoh

Bernama
Januari 22, 2018 05:00 MYT
IDRIS: Pelaksanaan kampus pintar yang mengaplikasikan teknologi merupakan satu daripada langkah kementerian menuju ke arah Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) - Gambar Fail
Pelaksanaan kampus pintar atau kampus digital di seluruh universiti awam menjelang hujung tahun ini akan membuka lembaran baharu dan mewujudkan konsep 'ekonomi pintar', kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
Idris berkata, pelaksanaan kampus pintar yang mengaplikasikan teknologi untuk setiap urusan dalam kalangan warga kampus itu merupakan satu daripada langkah kementerian menuju ke arah Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) yang memerlukan penggunaan teknologi terkini.
"Ini (pelaksanaan kampus digital) akan membawa satu konsep 'ekonomi pintar' kepada negara. Memang ia (aplikasi teknologi) bermula dari kampus, saya percaya ia akan berkembang kepada rakyat," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Cashless Campus @UiTM di Sungai Buloh di sini, pada Isnin.
Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Tan Sri Jamaludin Ibrahim.
Idris berkata, beliau yakin aplikasi kampus digital juga akan turut dilaksanakan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kelak.
"Ini trend sebenarnya, kita tak boleh menyekat perkara yang berlaku. Kalau ke negara China, nak pinjam basikal pun guna aplikasi digital, tanpa tunai. Ia (trend) akan berlaku, saya rasa di IPTS juga akan berlaku dan mengikut apa yang kita laksanakan," katanya.
Menerusi pelaksanaan kampus pintar, semua universiti awam akan menggunakan teknologi kod respons pantas (QR Code) untuk pentadbiran dan akses kepada kemudahan universiti termasuk menggunakan aplikasi dompet elektronik yang tidak lagi menggunakan transaksi tunai dan kad untuk urusan pembelian, pendaftaran dan pinjaman buku.
Sementara itu, Dr Hassan berkata, UiTM menjadi kampus tanpa tunai terbesar dalam negara yang menggunakan aplikasi dompet elektronik (e-Dompet) Boost di kesemua 35 kampus UiTM di seluruh negara.
"Aplikasi ini akan memberi manfaat kepada lebih 20,000 warga UiTM dengan aplikasi yang ditawarkan Axiata Digital menerusi aplikasi e-Dompet.
"Segala transaksi di semua kedai dalam kampus akan menggunakan aplikasi ini dan ia juga akan meliputi pembelian mudah, pemindahan wang, pembelian peralatan pembelajaran, minuman dan makanan pada harga yang lebih murah," katanya.
Untuk rekod, aplikasi e-Dompet kini dilaksanakan di beberapa universiti awam termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
-- BERNAMA
#Idris Jusoh #Industri 4 0 #kampus pintar #pendidikan tinggi #revolusi industri #teknologi
;