Kampus baharu ISKL bakal diiktiraf sekolah Indeks Hijau Platinum pertama Malaysia

Astro Awani
April 25, 2016 18:50 MYT
Sejak ditubuhkan pada tahun 1965, ISKL telah memainkan peranan penting sejak beberapa dekad lalu dalam menyediakan pendidikan cemerlang kepada pelajar antarabangsa dan pelajar di Malaysia.
Kampus baharu Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur (ISKL) yang dijangka siap pada Ogos 2018 bakal mendapat penarafan Indeks Bangunan Hijau Platinum pertama di Malaysia
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kampus ini menunjukkan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta ini mampu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
"Kita berharap lebih banyak lagi kerjasama dapat dilakukan dalam menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan utama. Saya berharap ISKL akan terus cemerlang dalam menyediakan pengalaman pendidikan yang terbaik untuk untuk pelajar di Malaysia.
"Pembinaan kampus di Ampang Hilir ini akan menandakan satu lembaran baru bagi ISKL dan saya yakin pihak sekolah akan menggunakan fasiliti-fasiliti yang baru ini untuk menjadikan sekolah yang terkemuka di seluruh dunia pada tahun-tahun akan datang," tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Kampus Baru ISKL, di sini, hari ini.
Bangunan sekolah ini bakal dilengkapi dengan tempat penuaian air dan tempat untuk menjana tenaga solar dan angin, bagi memenuhi ciri-ciri konsep alam sekitarnya.
Kampus seluar 26 ekar ini juga direka untuk mewujudkan persekitaran dan pembelajaran yang paling maju termasuk dengan penggunaan teknologi yang terkini, termasuk makmal sains bertaraf dunia , gimnasium, kolam renang, padang sukan dan juga gelanggang tenis.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1965, ISKL telah memainkan peranan penting sejak beberapa dekad lalu dalam menyediakan pendidikan cemerlang kepada pelajar antarabangsa dan pelajar di Malaysia.
ISKL juga pernah dinobatkan sebagai sekolah pertama di Asia Tenggara, bagi memenangi Anugerah Green Flag.
#Mahdzir Khalid #Ogos 2016 #Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur #Sekolah Index Hijau Platinum
;