Kampung Telaga Air syurga makanan laut dan destinasi ekopelancongan

Hasimi Muhamad
November 9, 2021 10:00 MYT
Selain pemandangan laut dan suasana kampung nelayan yang mendamaikan, destinasi yang terletak berdekatan dengan Sungai Sibu itu turut menawarkan keenakan makanan laut. -Gambar Astro AWANI
KEINDAHAN flora dan fauna meletakkan Sarawak antara destinasi unik untuk dikunjungi.
Hutan hujannya antara tertua di dunia yang kaya dengan kepelbagaian biologi menjadi aset penting Bumi Kenyalang, sekali gus habitat kepada ribuan spesies tumbuhan dan haiwan.
Terletak kira-kira 40 minit dari bandar Kuching, Kampung Telaga Air antara destinasi persinggahan wajib termasuk pengunjung dari luar Sarawak untuk merasai sendiri destinasi ekopelancongan itu.
Astro AWANI baru-baru ini berkesempatan menghayati pemandangan indah dari tebingan sungai, yang menjadi antara tarikan utama di kawasan itu.
Kampung Telaga Air yang dikatakan telah wujud lebih 200 tahun lalu kekal mendapat sambutan pengunjung walaupun pada hari bekerja.
Selain pemandangan laut dan suasana kampung nelayan yang mendamaikan, destinasi yang terletak berdekatan dengan Sungai Sibu itu turut menawarkan keenakan makanan laut.
Malah, tidak keterlaluan jika pengunjung mengelarnya sebagai "syurga makanan laut".
“Saya sudah beberapa kali datang ke sini. Setakat ini kami makan di restoran terletak di tepi air… makanan dan harga pun okey (berpatutan).
“Ini pertama kali kami akan melakukan perjalanan (naik bot) untuk melawat kawasan air di sekitar.
"Cuma masalahnya mungkin hari biasa, waktu (pergerakan bot) tidak banyak dan kami kena menunggu pemandu selepas waktu Zohor,” kata Nurain Ismail, 33, graduan ijazah doktor falsafah (PhD) Fisiologi dari Universiti Malaya (UM).
Pada hujung minggu lokasi ini popular dengan aktiviti memancing dan menjadi laluan air untuk ke pulau berdekatan termasuk Pulau Satang.
Bagi pengunjung dari Bintulu, Kristee Anak Stanley, 13, keindahan Kampung Telaga Air yang menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat telah menarik perhatiannya untuk berkunjung.
“Saya dengar daripada mak cik saya sendiri … tempat ini memang cantik sebab itu saya ingin datang.
"Pertama kali saya datang, ia memang cantik dan udara pun segar,” luahnya.
Bagi mereka yang sudah berkeluarga, Kampung Air Telaga disifatkan lokasi yang selamat untuk membawa anak-anak beriadah ketika negara masih berdepan ancaman pandemik COVID-19.
“Kalau boleh tempat ini diperbesarkan sikit, tambah tempat permainan, tempat makan atau menyediakan kemudahan yang lebih lengkap.
“Kita tengok SOP (prosedur operasi standard) bergantung kepada individu (patuhi) penjarakan sosial, dan sentiasa pakai pelitup muka,” ujar pemandu lori Nizam Mohammad, 44.
Kerajaan membenarkan rentas negeri pada 11 Oktober lalu, sekali gus memberi sinar baharu buat industri pelancongan domestik untuk kembali rancak.
#Kampung Telaga Air #PRN Sarawak #Pelancongan Sarawak #COVID-19
;