Kampung Redang Panjang, Selama dilanda banjir kilat
Aida Aziz
Februari 3, 2023 00:45 MYT
Februari 3, 2023 00:45 MYT
SELAMA: Beberapa buah rumah di Kampung Redang Panjang, Ijok di sini dinaiki air susulan kejadian banjir kilat akibat hujan berterusan lewat petang Jumaat.
Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) unit Selama, hujan lebat selama dua jam itu turut mengakibatkan air sungai melimpah ke jalan utama dan rumah berdekatan.
"Keadaan jalan utama dan pekarangan rumah penduduk dinaiki air pada paras 0.5 meter disebabkan limpahan air dari sungai berdekatan.
"Jalan utama Kampung Redang Panjang Luar terputus laluan utama menuju Kota Raja Bersiong dan anggaran rumah yang dinaiki air ialah tiga buah," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut kenyataan itu lagi, APM Selama telah memantau kawasan kawasan sekitar di samping menuju ke lokasi membuat penilaian risiko di kawasan yang dinaiki air.
"Bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka akibat kejadian tersebut.
"Situasi di sini masih lagi hujan dan anggota APM akan meneruskan operasi pemantauan dari masa ke semasa di kawasan yang berisiko dan dinaiki air," katanya lagi.