Kampung Pantai Dalam tukar nama kepada Pantai Sentral?
Haider Yutim
Januari 18, 2014 07:41 MYT
Januari 18, 2014 07:41 MYT
Adakah nama Kampung Pantai Dalam kini akan ditukar kepada Pantai Sentral?
Walaupun apa pun cadangan tersebut telah mengundang beberapa reaksi oleh orang ramai terutama di media sosial.
Antara individu yang mengutarakan reaksi tersebut termasuk bekas Ahli Parlimen PKR-Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.
Ketika dihubungi Astro AWANI hari ini beliau berpendapat bahawa tindakan tersebut boleh menyebabkan hilangnya keyakinan serta identiti budaya anak bangsa Melayu.
"Impak dia kita akan lihat akan terbentuknya satu pembangunan yang hilang identiti... telah hilang keyakinan diri anak bangsa mereka untuk bangga dengan hasil pembangunan mereka," kata Yusmadi.
Menurutnya budaya mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan yang perlu dibangunkan seiring dengan 'jiwanya' iaitu budaya itu sendiri.
Justeru, beliau yang juga merupakan penduduk Kampung Pantai Dalam menggesa pihak kepimpinan memandang serius perkara ini dengan mengemukakan satu garis panduan yang tegas.
Katanya, jika tujuan penukaran nama tersebut bertujuan untuk komersil atau membangkitkan nilai pasaran, ada lagi pendekatan lain yang boleh dilakukan seperti mempromosikan tempat tersebut dengan betul.
"Bagi saya ini ialah isu yang penting, yang mendesak pemimpin-pemimpin berkaitan perlu mengambil tindakan tegas terhadap perkara sebegini," jelasnya.
Ditanya mengenai pendekatan yang perlu diambil, Yusmadi berkata sepatutnya konsultansi dibuat terlebih dahulu iaitu dengan penduduk tempatan, dengan golongan bijak pandai serta dengan penggubal dasar.
Katanya lagi, tidak mungkin di Kuala Lumpur mempunyai banyak nama yang ada 'sentral' kerana erti sentral itu satu dan di Kuala Lumpur hanya perlu ada satu dengan nama tersebut iaitu KL Sentral.
Selain itu, tegas beliau isu ini kritikal kerana di Brickfields budayanya sinonim dengan masyarakat India, di Bukit Bintang pula budayanya sinonim dengan masyarakat Cina tetapi tempat yang melambangkan budaya Melayu masih tiada.
"Saya lihat ini satu tempelak kepada pejuang-pejuang dan tokoh-tokoh budaya Melayu kerana ini ialah isu yang patut diperjuangkan," kata beliau.
Tambahnya, jika perkara ini berterusan Malaysia akan kehilangan sumber untuk memperkenalkan budaya Melayu kepada generasi akan datang.
"Pada hari minggu kita bawa anak-anak ke pasaraya... sepatutnya kita bawa ke kampung-kampung untuk mengenal budaya, (tetapi) kalau kampung pun dah tak jadi sumber untuk mengenal budaya, di mana lagi?
"Adakah di kompleks membeli belah atau gedung-gedung konkrit tanpa identiti?" kata Yusmadi.
Kampung Pantai Dalam dikatakan akan ditukarkan namanya ke Pantai Sentral berikutan beberapa transformasi serta pembangunan yang dijalankan di kawasan itu.
Astro AWANI juga telah cuba menghubungi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Bagaimanapun usaha untuk menghubungi kedua-dua pemimpin tersebut gagal.
Sebelum ini beberapa kawasan lain turut ditukarkan nama seperti Kampung Haji Abdullah Hukum ke KL Eco City dan Kampung Kerinchi ke Bangsar South.
Namun di negara jiran seperti Singapura, nama-nama asal masih dikekalkan seperti Kandang Kerbau, Bukit Timah, Bras Basah meskipun pembangunan pesat dijalankan.
Berikut merupakan reaksi-reaksi yang diperolehi dari laman Twitter: