Kampung Long Latei, Kampung Long Suling dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI - KBS

Bernama
Oktober 11, 2024 12:04 MYT
KBS berkata Projek Kampung Angkat MADANI dijangka akan memberi impak positif yang berpanjangan kepada penduduk kampung.
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Projek Kampung Angkat MADANI telah memilih Kampung Long Latei dan Kampung Long Suling yang terletak di Ulu Baram, Telang Usan, Miri, Sarawak sebagai Kampung Angkat MADANI.
Ia sebagai usaha mencapai objektif memperkasakan komuniti desa selaras seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan kepentingan memajukan kawasan kampung untuk kesejahteraan masyarakat luar bandar.
"Pusat Belia Antarabangsa (IYC) agensi di bawah KBS, bertindak sebagai rakan pelaksana bersama NGO Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (MyHumanitarian), yang pernah menjalankan Projek Bekalan Saluran Air Bersih di kawasan tersebut.
"Projek ini merangkumi pelbagai usaha menaik taraf kemudahan di kampung serta pembangunan belia di kawasan pedalaman," menurut kenyataan KBS hari ini.
KBS dalam kenyataan itu memaklumkan, antara kemajuan penting dicapai sejak projek itu dimulakan pada Ogos, termasuk pemasangan lampu jalan solar, menaik taraf tangki air dan pembinaan insinerator baharu, selain beberapa lagi projek yang sedang berjalan dijangka siap pada penghujung Disember.
Sementara itu kenyataan itu memaklumkan selain dari projek fizikal, pengisian ilmu berupa latihan Pembangunan Belia turut dilaksanakan, bagi membina kemahiran yang memberi manfaat kepada komuniti belia di kampung berkenaan.
Sebanyak tiga siri kursus masing-masing disertai 150 peserta di Kampung Long Latei telah berjaya dilaksanakan, untuk membekalkan belia di Telang Usan dengan kemahiran baharu yang dapat meningkatkan peluang ekonomi mereka.
Tiga kursus itu ialah Kursus Asas Rekreasi dan Eco Host, Kursus Keselamatan dan Keterjaminan Makanan dan Kursus Pembuatan Barangan Kraftangan dan Penyelenggaraan Kereta Diesel.
"Kursus-kursus ini memberi manfaat besar kepada belia yang dikenali sebagai local heroes, dengan kemahiran yang telah mereka peroleh boleh digunakan untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk kampung dan menjana pendapatan secara mandiri.
"Projek Kampung Angkat MADANI ini, dijangka akan memberi impak positif yang berpanjangan kepada penduduk kampung dengan menyediakan kemudahan yang lebih baik serta peluang ekonomi yang lebih luas, selari dengan matlamat Kerajaan MADANI untuk kesejahteraan semua," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Kampung Angkat MADANI #Kementerian Belia dan Sukan #Kampung Long Latei #Kampung Long Suling
;