Kampung Kebudayaan Warisan San Sheng kembali meriah sempena Tahun Baharu Cina
Abd Hadi Che Awang
Januari 31, 2022 12:52 MYT
Januari 31, 2022 12:52 MYT
ALOR SETAR: Hampir dua tahun tidak beroperasi, Kampung Kebudayaan Warisan San Sheng yang terletak di Tanjung Bendahara, di sini, bakal dibanjiri pengunjung, khususnya pada sambutan Tahun Baharu Cina esok.
Sebelum ini, penularan wabak COVID-19 selain bencana banjir kilat yang berlaku pada 2021 menyebabkan lokasi tarikan pengunjung ini terpaksa ditutup sementara.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan San Sheng Alor Setar, Ong Soon Boon, pihaknya membuat persiapan sejak dua minggu lalu bagi menghiasi kawasan seluas 9,000 kaki persegi itu.
Meskipun berdepan beberapa kekangan, termasuk terpaksa mengecilkan keluasan kampung kebudayaan tersebut, ia tidak menghalang pihaknya menyediakan lebih 75 lokasi terbaik buat pengunjung bergambar.
Ong, 54 tahun, memaklumkan kampung itu akan dibuka secara rasmi kepada pengunjung selama 15 hari bermula 1 Februari hingga malam sambutan perayaan Chap Goh Mei.
"Ini kita buat sebagai tempat kebudayaan untuk pelancongan di negeri Kedah, kita bermula sejak 2010 sehinggalah sampai ke hari ini.
"Perbezaan tahun lepas dengan tahun ini, tahun lepas kita mengalami banjir. Tahun ini pula, kami tidak dapat mengadakannya pada skala besar seperti sebelum ini, kami terpaksa kecilkan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
"Jadi, di tempat yang dibenarkan dibuka, kita buat dan hias bagi elok untuk ramai datang ambil gambar," kata Ong.
Sementara itu, Penasihat Tetap Pertubuhan Kebajikan San Sheng Alor Setar, Pang Hu Kong berkata, selain menonjolkan warisan dan kebudayaan kaum Cina, budaya kaum lain turut dipaparkan.
Ia termasuk budaya kaum Melayu, India dan Siam, selain proses asimilasi membabitkan masyarakat Cina yang tinggal di negeri Kedah.
"Bagi taman kebudayaan ini, bukan sahaja kebudayaan Cina disiapkan, sebab dalam Malaysia ada tiga bangsa utama.
"Di Kedah juga ada bangsa Siam. Jadi, selain Cina, Melayu dan India, produk kebudayaan Siam juga kita sediakan di sini," kata Pang, 58 tahun.
Tambahnya, terdapat perbezaan dari segi kemasukan pengunjung ke kampung terbabit untuk tahun ini memandangkan ia dilaksanakan mengikut SOP norma baharu yang ditetapkan kerajaan.
Walaupun hanya 400 pengunjung dibenarkan untuk masuk dalam satu-satu masa, Persatuan Kebajikan San Sheng menyasarkan jumlah keseluruhan pengunjung dalam tempoh 15 hari mampu mencecah sekitar 100,000 orang.