Kampung dinaiki air sekali lagi selepas 11 tahun
Adie Sufian Zulkefli
November 3, 2021 17:54 MYT
November 3, 2021 17:54 MYT
ALOR SETAR: Limpahan air Sungai Pumpong mengakibatkan banjir kilat dengan lebih 50 penduduk Kampung Seberang Pantai Johor di sini, tidak sempat menyelamatkan harta benda.
Sebahagian mereka yang menyedari paras air sungai mulai naik pada jam 12 tengah hari bagaimanapun sempat bergegas keluar mengalihkan kenderaan ke tempat lebih tinggi.
Menurut seorang penduduk, Muhammad Naqib Nor Said, 32, rumahnya dinaiki air sedalam 0.5 meter.
"Ketika kejadian saya hanya sempat meminta ahli keluarga keluar menyelamatkan diri dengan membawa dokumen penting sahaja.
"Kami bimbang air naik lebih tinggi, justeru keluar dahulu dari rumah dan mengambil masa 10 minit berjalan kaki meredah banjir untuk ke jalan besar yang tidak dinaiki air.
"Kali terakhir rumah kami dimasuki air adalah ketika banjir besar tahun 2010 dulu. Kini hampir 11 tahun mimpi ngeri itu berulang kembali," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, setakat jam 5 petang, empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kota Setar dibuka menempatkan seramai 275 mangsa daripada 80 keluarga.
Beliau berkata, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar menempatkan 80 mangsa, SK Suka Menanti (62), PPS Darul Hikmah (108), PPS SK Haji Wahab (25).
Beliau dalam pada itu mengingatkan penduduk yang tinggal berdekatan dengan sungai supaya mengikuti arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya kediaman mereka dinaiki air.