Kampung Baru: 'Dulu pelan macam New York, sekarang seni bina Islam pula?'

Wan Syamsul Amly
Jun 12, 2015 16:01 MYT
Kini timbul kekeliruan pewaris asal di Kampung Baru terhadap pelan mana yang mahu digunakan terhadap lokasi warisan dan penuh sejarah di tengah bandaraya itu. - Gambar fail
Pengerusi Perbadanan Kampung Bharu (PKB) Datuk Astaman Abdul Aziz diminta memberi penjelasan terhadap perubahan pelan pembangunan lokasi tersebut yang disifatkan berlainan daripada cadangan asal yang dibentangkan sebelum ini.
Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi berkata, ia sekali gus menimbulkan kekeliruan pewaris asal di Kampung Baru sendiri terhadap pelan mana yang mahu digunakan terhadap lokasi warisan dan penuh sejarah di tengah bandaraya itu.
"Pelan sebelum ini lain, tiba-tiba ada seni bina Melayu Islam pula? Sebelum ini katanya pelan Kampung Baru seolah-olah maju dan moden seperti di New York dan Manhattan, namun kini berubah sekelip mata.
"Pelan lain maknanya ada kos yang akan keluar, ada unsur kewangan yang terlibat dalam isu ini. Mungkin membazirkan duit kerajaan," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Sebelum ini katanya pelan Kampung Baru seolah-olah maju dan moden seperti di New York dan Manhattan namun kini berubah sekelip mata
BACA: Garis panduan seni bina Melayu Islam untuk pembangunan Kampung Baru
Shamsuri mengulas kenyataan Astaman mengenai Garis Panduan Seni Bina Melayu Islam khusus untuk pembangunan Kampung Bharu yang dilancarkan pada Khamis sebagai pelengkap kepada pelaksanaan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Bharu (PITPKB).
Garis panduan itu dilancarkan sebagai keprihatinan terhadap survival identiti Melayu dan Islam di kawasan berkenaan.
Jelas Astaman, garis panduan itu melibatkan kawasan pembangunan seluas 121.96 hektar (301.38 ekar).
BACA: 'Memang kami trauma dengan pembangunan Kampung Baru' - Shamsuri
Sebelum ini, Shamsuri dilaporkan berkata, penduduk Kampung Baru kini disifatkan berada dalam ketakutan selagi kerajaan tidak memberi perincian terhadap pembangunan kawasan tersebut.
Jelasnya, pihak berkaitan termasuk PKB masih tidak memaklumkan sebarang perkembangan mengenai pembangunan yang dikatakan akan dilakukan segera itu.
BACA: Apa mekanisma pembayaran harga tanah Kampung Baru? - Johari
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani turut meminta kerajaan menjawab persoalan penduduk Kampung Baru mengenai mekanisma pembayaran harga kepada pemilik tanah terbabit.
Kata Johari, rata-rata penduduk juga dilihat tidak menolak pembangunan namun melihat ia perlu diperjelaskan lagi.
BACA: Berapa harga tanah Kampung Baru?
Oleh itu kata Shamsuri, satu mesyuarat akan diadakan bersama PKB dalam tempoh terdekat untuk memastikan isu pelan itu diterangkan dengan lebih terperinci selain tidak mengelirukan pewaris tanah di lokasi berkenaan.
BACA: Pembangunan semula Kampung Baru tidak jejas hak pemilik tanah - Muhyiddin
Pada Januari, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa pelancaran PITPKB memberi jaminan bahawa pembangunan semula Kampung Baru tidak akan meminggir atau mengabaikan hak milik serta pewaris asal kampung berkenaan.
Jelas Muhyiddin, ini kerana penggubalan PITPKB sebelum ini melibatkan proses yang ketat serta melalui beberapa siri perbincangan bersama pemilik dan pewaris tanah.
BACA: Gabung tanah jamin cepatkan pembangunan Kampung Baru
Sebelum ini, Pemula Runding Pemilik Tanah Kampung Baru, Shahariah Sabarudin melahirkan rasa kesal dan menyifatkan ada ahli jawatan kuasa (AJK) PKB yang mempunyai agenda peribadi di sebalik isu penggabungan tanah berkenaan.
Penggabungan lot di Kampung Baru dilihat usaha pemilik tanah membantu PKB mempercepat pembangunan lokasi tersebut.
#Astaman Abdul Aziz #Kampung Baru #Melayu #PKB #shamsuri suradi
;