Kampung Baru Cina: Kor Ming ajak UMNO bincang

Sinar Harian
Februari 11, 2024 14:16 MYT
Kor Ming (lima dari kiri) merasmikan Arca Setia Kawan dan sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Komuniti Warisan Kampung Koh, pada Ahad. -Foto Sinar Harian
MANJUNG: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengajak pemimpin UMNO berbincang mengenai cadangannya mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menurut beliau, pertemuan itu bagi menjelaskan fakta sebenar berhubung cadangannya itu.
"Sebenarnya saya ada berhubung dengan pemimpin UMNO, kita ajak mereka bermusyawarah supaya kita dapat berbincang dan ketahui hakikat dan fakta sebenar.
"Ia supaya mereka tidak terpesong dengan fakta-fakta atau isu sentimen yang dimainkan oleh pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Arca Setia Kawan dan sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Komuniti Warisan Kampung Koh, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Jason Ng Thien Yeong dan ADUN Pantai Remis, Wong May Ing.
Media melaporkan UMNO menolak sekeras-kerasnya cadangan Kor Ming itu berikutan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.
Menjelas lanjut Kor Ming berkata, cadangan itu bagaimanapun masih di peringkat kajian dan pihaknya menyokong sekiranya Kampung Tradisi Melayu turut dicalonkan bagi mendapatkan pengiktirafan berprestij itu.
"Di peringkat kementerian, kita buat kajian kebolehlaksanaan. Kita ada beberapa tapak warisan dunia seperti Gua Mulu, Sarawak; Gunung Kinabalu, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang, jika dapat satu lagi memang menjadi kebanggaan negara.
"Sekiranya ada kemungkinan perkara ini boleh dijalankan maka saya akan angkat ia untuk dibincangkan di peringkat Kabinet dan barulah Jemaah Menteri buat keputusan.
"Saya pun sokong Kampung Tradisi Melayu turut diiktiraf tapak warisan dunia jika ia memenuhi syarat UNESCO, apa salahnya," katanya.
Tambah beliau, negara mempunyai sekitar 15,000 Kampung Tradisi Melayu dan 613 Kampung Baru Cina.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan menyarankan perkara itu tidak dijadikan sebagai isu perkauman.
"Tolonglah jangan jadikan isu ini seolah-olah isu perkauman. Racun perkauman amat berbisa ia akan merosakkan keharmonian kita.
"Kita seharusnya menjauhi sikap assabiyah dan memandang apa yang baik dijadikan teladan, apa yang buruk dijadikan sempadan," katanya. -Sinar Harian
#Nga Kor Ming #pemimpin UMNO #Unesco #Kampung Baru Cina
;