Kampung Angkat MADANI JPA perkasa ekonomi penduduk, pelancongan Pulau Aman
Astro Awani
Disember 11, 2024 17:02 MYT
Disember 11, 2024 17:02 MYT
BATU KAWAN: Program Kampung Angkat Madani di Pulau Aman, Pulau Pinang oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berjaya mengubah landskap pembangunan kampung nelayan itu menjadi lebih ‘segar’ dan menarik.
Ringkasan AI
- Program Kampung Angkat Madani di Pulau Aman oleh JPA berjaya mengubah landskap kampung nelayan itu dengan penambahbaikan infrastruktur dan pelaksanaan 12 projek fizikal serta 24 projek bukan fizikal.
- Projek yang disiapkan termasuk membaik pulih kemudahan awam, naik taraf jeti, pembinaan Denai Alam, dan pemasangan lampu jalan, yang membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk.
- Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM akan membuat pemantauan berkala untuk memastikan fasiliti dijaga dengan baik, dan PUSPANITA akan membantu mempromosikan produk hiliran penduduk untuk menjana ekonomi.
Sebagai destinasi tarikan pelancongan, penambahbaikan infrastruktur serta pelaksanaan 12 projek fizikal dan 24 projek bukan fizikal dengan peruntukan RM2.47 juta menjadikan Pulau Aman lebih dinamik, mampan, dan sejahtera.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, dengan adanya infrastruktur yang terbaik, ia menjadi daya tarikan pelancongan sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk Pulau Aman.
“Alhamdulillah dengan beberapa projek yang telah dirancangkan dan telah sempurna, kita membuat penyerahan kepada penduduk Pulau Aman hari ini.
"Saya percaya dengan terbinanya semua fasiliti itu, ia akan dapat membantu penduduk Pulau Aman untuk menjana pendapatan dan sudah pasti akan membantu mereka dari segi ekonomi, dan seterusnya mungkin dapat mengubah sedikit sebanyak dari segi kehidupan mereka,” kata Wan Ahmad Dahlan.
Jelasnya, antara projek yang berjaya disiapkan dalam tempoh tujuh bulan itu adalah membaik pulih kemudahan awam seperti tandas, gelanggang permainan, naik taraf jeti, peningkatan pusat pengumpulan sampah, pembaikan longkang, pemasangan lampu jalan, pengubahsuaian dewan serbaguna, dan penyediaan tempat mandi jenazah.
Selain itu, pembinaan Denai Alam (Nature Trail) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) juga dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Sebenarnya banyak yang kita laksanakan antara yang menarik bagi saya terutamanya untuk menarik pelancong daripada luar adalah trek, nature trail yang dibina dengan kerjasama daripada FRIM untuk mereka yang mencintai alam semula jadi dan ia sesuai dijadikan tempat rekreasi,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi memastikan kesemua fasiliti itu dijaga dengan baik, Wan Ahmad Dahlan berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membuat pemantauan secara berkala.
“Insya-Allah ,saya percaya dengan tekad dan juga iltizam pimpinan penduduk Pulau Aman, perkara ini akan diberi perhatian lebih baik,” ujarnya selepas Majlis Penutup Kampung Angkat Madani JPA: Kampung Pulau Aman, Pulau Pinang pada Ahad.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berterima kasih kepada semua pihak yang berkolaborasi dengan JPA sepanjang program Kampung Angkat Madani Di Pulau Aman.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Anesee Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ( Operasi ), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim dan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil JPA, Puan Seri Dr Azlifah Bahari.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, Zulkplee Yusoff berkata, fasiliti yang telah dinaik taraf memberi keselesaan kepada penduduk malah kunjungan pelancong juga meningkat secara drastik iaitu kira-kira 2,000 pada hari minggu sejak pelaksanaan program kampung angkat itu.
“Alhamdulillah, manfaat ini bukan hanya untuk penduduk saja, tetapi manfaat juga untuk pelancongan di sini di mana kita menerima kedatangan pelancong iaitu kira-kira 30 peratus iaitu lebih daripada biasa,” kata Zulkplee.
Dalam pada itu, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil JPA, Puan Sri Dr Azlifah Bahari berkata pihaknya turut memberi sokongan penuh inisiatif Kampung Angkat Madani di Pulau Aman.
Mereka juga akan membantu mempromosikan produk hiliran dan perkhidmatan penduduk khususnya golongan wanita menjana ekonomi mereka di bawah jenama Kampung Pulau Aman.
"Ini kali pertama Puspanita hadir di Pulau Aman. Saya rasa banyak yang boleh kita lakukan bersama selepas ini, antaranya mencanting batik.
"Kita juga melihat penduduk, khususnya golongan wanita, aktif menjana ekonomi dengan menghasilkan produk hiliran seperti kerepek sukun, belacan, minyak, air gamat dan kuih kapit.
"Jadi salah satu cara terbaik untuk Puspanita membantu mereka mungkin dengan memperluaskan lagi produk untuk dijual di luar sana (Pulau Aman)," kata Azlifah.
#Kampung Angkat MADANI JPA
#Wan Ahmad Dahlan
#JPA
#Datuk Dr Anesee Ibrahim
#Datuk Mohd Shaiful Ibrahim
#Puan Sri Dr Azlifah Bahari
#Pulau Aman