Kampung Angkat MADANI: 12 projek pembangunan di Kelantan dijangka siap hujung tahun ini

Bernama
September 20, 2024 23:43 MYT
Nik Nazmi (dua, kanan) menyantuni penduduk kampung ketika lawatan kerja ke Kampung Angkat MADANI di Masjid Kampung Aril hari ini. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Sebanyak 12 projek pembangunan yang dilaksanakan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk program Kampung Angkat MADANI di Kampung Aril, di sini, dijangka siap hujung tahun ini.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek berkenaan akan memanfaatkan kira-kira 2,200 penduduk yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM2.5 juta.
"Antaranya NRES telah memperuntukkan RM210,000 kepada Jabatan Alam Sekitar untuk kerja-kerja pembersihan dan mengecat baru tembok susur tangan jambatan serta mencuci tali air dan tebing.
"Kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf tempat pembuangan sampah juga dilakukan dan pemasangan tempat pengumpulan buangan e-sisa serta buangan kitar semula," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Kampung Aril, di sini, hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu akan menggalakkan aktiviti kitar semula dan menyediakan tempat pembuangan barang elektronik yang teratur dan selamat.
Selain itu, Nik Nazmi berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara telah menyediakan enam unit wakaf untuk kegunaan penduduk kampung beristirahat dan berkumpul, melibatkan peruntukan RM250,000.
"Daripada jumlah itu juga, tiga unit wakaf baharu ditempatkan di masjid, Wat Ariyakiri dan tanah perkuburan manakala tiga unit wakaf sedia ada di Klinik Desa, sawah padi dan simpang tiga jalan telah diselenggara dan ditambah baik," katanya.
Beliau berkata sebanyak 10 telaga cetek dengan kedalaman 30 meter dan sebuah telaga dengan kedalaman 100 meter juga dibina bagi kegunaan penduduk Kampung Aril menerusi Jabatan Mineral dan Geosains.
Menurutnya, dana RM302,000 diberikan bagi memastikan bekalan air bawah tanah yang bersih dibekalkan secara berterusan kepada penduduk kampung manakala RM600,000 pula dikhaskan bagi kerja-kerja baik pulih jalan dan pemasangan 44 lampu jalan solar di sepanjang jalan utama Kampung Aril yang disediakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan.
"Saya berharap dengan projek ini, ia dapat memberikan keselesaan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya," katanya.
-- BERNAMA
#bekalan air #NRES #tanah perkuburan #risiko kemalangan
;