Kampong Baru: Pastikan pembayaran beli tanah dibuat dahulu - Johari

Astro Awani
Oktober 29, 2019 18:41 MYT
JOHARI: Tanah di Kampong Bharu pada masanya telah membangun secara berperingkat dengan prasarana selain pelbagai kemudahan lain kepada penduduk. - Gambar BERNAMA
Kerajaan perlu memastikan pembayaran dibuat dahulu kepada mana-mana penduduk Kampong Baru yang bersetuju dengan tawaran baharu yang diberikan untuk membeli tanah bagi pembangunan semula di lokasi berkenaan.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia akan menimbulkan keyakinan penduduk kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak berbuat apa-apa selepas hampir 18 bulan mentadbir negara.
"Saya kasihan melihat Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Baru, Syed Badli Syed Osman ini. Dia tidak faham apa-apa mengenai kampung ini.
"Saya difahamkan tanah pusaka keluarganya juga masih belum selesai lagi. Jumpalah pihak Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) untuk menyelesaikan dahulu isu tanah tersebut sebelum sibuk hendak tengok tanah orang lain.
"Syed Badli ini tidak faham mengenai pembangunan. Dia hendak cerita pelan menyeluruh Kampong Baru dengan muslihat. Tawaran yang dibuat kepada orang kampung seperti melepaskan betuk di tangga. Kalau benar-benar ikhlas, janganlah letak banyak syarat," katanya semasa dihubungi pada Selasa.
BACA: Kampong Baru: Johari jangan jadi jaguh kampung - Syed Badli
BACA: Kampong Baru: Isu jual tanah bukan fokus utama - MAS
Terdahulu, Syed Badli memberitahu, Johari tidak perlu bertindak jaguh mempersoalkan tentang kemudahan parkir dalam cadangan terbaru kerajaan untuk membangunkan Kampong Baru.
Katanya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang menyediakan pelan pembangunan menyeluruh meliputi seluruh kampung itu meliputi bukan semata-mata projek-projek kecil berbentuk runcit seperti menyediakan bangunan parkir.
Dalam pada itu Johari menjelaskan, tanah di Kampong Baru pada masanya telah membangun secara berperingkat dengan prasarana selain pelbagai kemudahan lain kepada penduduk.
"Projek pasar minggu yang berpuluh-puluh tahun tidak dibangunkan dan sekarang sedang dibangunkan. Membina stesen stesen transit aliran massa (MRT) di Kampong Baru, membina Saloma Link, mengelakkan banjir yang teruk namun selepas saya tiada lagi kerana tidak ada yang memantau.
"Kerana itu Naib Presiden PKR, Tian Chua sebelum ini pernah berkata, Syed Badli tidak berdisiplin kerana melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK)," katanya.
Pada tahun lepas, Syed Badli dilaporkan melepaskan jawatan sebagai Setiausaha AMK kerana katanya, ada beberapa pemimpin PKR Selangor semakin merosakkan parti itu dengan amalan kronisme dan nepotisme, sedangkan ia seharusnya membawa wadah perjuangan reformasi.
Sebelum ini, Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi mempertikaikan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang menyatakan 90 peratus atau kira-kira 700 sehingga 800 borang daripada pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.
"Sampai April PKB kata 88 peratus kata penduduk Kampong Baru kata bersetuju untuk apa? Perkara ini banyak yang tidak ketara, tidak terang sehinggalah 23 April, Kementerian Wilayah buat pengumuman kerajaan akan beli dengan peruntukan RM10 bilion untuk beli tanah Kampong Bharu.
"Pertemuan 23 Julai 2018, kita hendak bangun, bukan hendak jual, jadi penduduk didendang dengan RM6 juta, iaitu RM850.
"Patut tidak masuk akal, kita hendak bangunkan Kampong Baru, jadi penduduk pun tidak pindah, itu masalah saya rasa Kementerian serta PKB kena rujuk balik, saya rasa bancian tidak dijalankan dengan teratur, tidak jujur," ujar Shamsuri.
#banjir #Kampong Bharu #kerajaan #Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu #Melayu #Pakatan Harapan #PKR #prasarana #Tian Chua
;