Kampong Baru: Isu jual tanah bukan fokus utama - MAS
Wan Syamsul Amly
Oktober 16, 2019 16:00 MYT
Oktober 16, 2019 16:00 MYT
Isu jual tanah bukan fokus utama yang dilihat kira-kira 5,300 pemilik tanah di Kampong Bharu yang ditawar kerajaan baru-baru ini.
Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi berkata, paling penting kini persoalan pembangunan serta jaminan kampung Melayu itu tidak lenyap dari pembangunan kota.
"Sebenarnya macam-macam tawaran baru kita dengar, semasa townhall juga kerajaan tidak telus.
"Meraka beri empat tawaran, bagi tunai, kamu dapat tunai, tetapi bagi 10 peratus, bakinya 90 peratus lagi tidak tahu bila dapat. Kedua dapat tunai dapat rumah, bila pula? Adakah saya kena keluar dari Kampong Baru? Jadi perkara ini tidak ada perinciannya. Itu ketiga.
"Keempat dapat syer, jadi bagaimana? Adakah macam kita hendak beli produk,? Jadi tawaran yang diberi amat samar," katanya semasa dihubungi di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, penduduk turut mempersoalkan isu cukai seandainya penerimaan RM6 juta harga jualan tanah dibuat.
"Semasa sesi townhall, dapat RM6 juta, cukai kena bayar atau tidak? Bayaran guaman? Benda ini tidak disebut.
"Dapat RM6 juta, bahagi 50 orang, berapa sen sahaja dapat. Jadi kita tidak galakkan. Kalau boleh kita pajakkan, buat satu cadangan sekurang-kurangnya penduduk tidak pindah.
"Itu kita khuatir, bila pindah sahaja dari Kampong Baru, roh Melayu tidak ada lagi dalam bandar," ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata kerajaan akan membuat tawaran baharu dan muktamad kepada pemilik tanah Kampung Baru bagi menyelesaikan kemelut pembangunan kampung itu.
Tawaran berkenaan yang bakal diumumkan minggu depan disifatkan sebagai yang terakhir oleh kerajaan, susulan perbincangan Khalid dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu lalu.
Bagaimanapun, Dr Mahathir pada Selasa menjelaskan, kerajaan sukar menawarkan harga tinggi kepada pemilik tanah Kampung Baru bagi memastikan orang Melayu dapat membeli semula hartanah di situ.
Katanya, jika kerajaan menawarkan pembelian harga tanah pada kadar semasa, kos pembangunan di Kampong Baru akan turut meningkat.
Dalam pada itu, Shamsuri turut mempertikaikan kenyataan Khalid yang menyatakan 90 peratus atau kira-kira 700 sehingga 800 borang daripada pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.
"Sampai April PKB kata 88 peratus kata penduduk Kampong Baru kata bersetuju untuk apa? Perkara ini banyak yang tidak ketara, tidak terang sehinggalah 23 April, Kementerian Wilayah buat pengumuman kerajaan akan beli dengan peruntukan RM10 bilion untuk beli tanah Kampong Baru.
"Pertemuan 23 Julai 2018, kita hendak bangun, bukan hendak jual, jadi penduduk didendang dengan RM6 juta, iaitu RM850.
"Patut tidak masuk akal, kita hendak bangunkan Kampong Bhru, jadi penduduk pun tidak pindah, itu masalah saya rasa Kementerian serta PKB kena rujuk balik, saya rasa bancian tidak dijalankan dengan teratur, tidak jujur," ujarnya.
Kerajaan sebelum ini menawarkan kepada pemilik tanah Kampong Baru untuk membeli tanah mereka pada harga RM850 sekaki persegi. Pada tawaran itu, pemilik lot seluas 8,000 kaki persegi dijangka meraih sekitar RM6 juta.
Walaupun berdasarkan maklum balas yang diterima menunjukkan lebih 90 peratus pemilik dan waris tanah Kampong Baru bersetuju dengan tawaran harga sebelum ini, kebanyakan mereka hanyalah pemilik bersama yang berkongsi lot tanah bersama tujuh hingga 10 pemilik lain.
#Kampong Baru
#Kampong Bharu
#Kampung Bharu
#Khalid Abdul Samad
#Khalid Samad
#Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu MAS
#Melayu
#Menteri Wilayah Persekutuan
#PKB
#shamsuri suradi
#Tun Mahathir