#KamiMahuAir: Sekretariat serah memorandum, tuntut hak bekalan air di Sabah

Astro Awani
Jun 14, 2024 13:51 MYT
Sekretariat #KamiMahuAir Sabah menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri menuntut tindakan segera dan konkrit berhubung masalah bekalan air Sabah. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Sekretariat #KamiMahuAir Sabah (Semenanjung) menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menuntut tindakan segera dan konkrit daripada pihak berwajib mengenai isu bekalan air di negeri itu.
Memorandum tersebut diserahkan susulan himpunan #KamiMahuAir yang dirancang sebagai membantah masalah yang dihadapi Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu.
Gabungan yang mendakwa menghimpunkan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara itu menyerahkan memorandum bertujuan menyatakan kemarahan mereka dan rakyat Sabah terhadap isu air yang berpanjangan.
Antara tuntutan yang disuarakan adalah, kerajaan persekutuan dan negeri perlu memastikan segala kepincangan dan kerenah birokrasi berkaitan air di Sabah diselesaikan segera.
Menurut Muhammad Fakrurrazzi Khairur Rijal yang mewakili Mahasiswa Demokratik Malaysia, pihak berkuasa mesti mendedahkan keadaan sebenar masalah air di Sabah kepada masyarakat.
“Transparensi. Pihak berkuasa mesti mendedahkan keadaan sebenar masalah air di Sabah kepada masyarakat, bukannya memberikan alasan seperti kecurian air atau notis penyelenggaraan.
“Ketelusan maklumat adalah penting untuk membina kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui semasa penyerahan memorandum tersebut di JPM, di sini, hari ini.
Gabungan itu turut menggesa rombakan penuh anggota jawatankuasa berkaitan dalam menguruskan bekalan air di Sabah.
Sementara itu, wakil Demokrat Universiti Kebangsaan Malaysia, Brendon Gan berkata, sekretariat tersebut juga menggesa campur tangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu ini.
“Saya selaku wakil mahasiswa mendesak Perdana Menteri campur tangan untuk menyiasat sekiranya berlaku penyelewengan dana.
“Ini kerana, sebelum ini Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Tinggi telah meluluskan beberapa dana untuk isu bekalan air di Sabah.
“Namun sehingga saat ini tiada jalan penyelesaian. Ia sekali gus menyaksikan mahasiswa masih menderita. Bukan sahaja itu, masyarakat secara umum turut mengalami penderitaan berlanjutan,” katanya.
Difahamkan, memorandum tersebut diserahkan kepada pegawai khas Perdana Menteri di JPM.
#Sabah #bekalan air #memorandum #Universiti Malaysia Sabah
;