"Kami tidak pernah rasa dilayan sebegini," kata ibu tunggal beranak 14

Harits Asyraf Hasnan
Januari 3, 2016 19:41 MYT
Tiga anak Azizah hadir hari ini untuk mendapatkan kelengkapan persekolahan 2016, iaitu Ummi Aida, 15, Mohd Rohimin, 12 dan Mohd Nabil, 11.
"Kami tidak pernah rasa (dilayan) sebegini," itu yang dizahirkan Azizah Ashaari, 52, seorang ibu tunggal beranak 14, tatkala melihat riak wajah gembira anak-anaknya.
Mana tidaknya, hari ini, anak-anaknya dibawa membeli-belah sebagai persiapan akhir sebelum memulakan sesi persekolahan esok.
Sebelum ini Astro AWANI memaparkan kisah keperitan hidup Azizah, yang berdepan cabaran untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya yang bakal meneruskan sesi persekolahan 2016.
Kini lima anaknya masih bersekolah dan Azizah terpaksa meneruskan kelangsungan hidup hanya dengan bantuan RM350 daripada Lembaga Zakat Selangor.
Yang pasti, hari ini ternyata berbeza, senyuman kegembiraan yang jarang sekali terukir di wajah anak-anak ini terutama menjelang musim persekolahan jelas kelihatan.
Bagi Azizah, ini adalah detik yang jarang dirasainya.
"Rasa macam mimpi...sebab tidak pernah rasa seronok macam ini. Ada orang yang membawa beli, seronok tidak boleh hendak cakap, terharu betul rasanya," luah Azizah tatkala memilih pakaian sekolah untuk anak-anaknya.
Hati seorang ibu, tidak lain tidak bukan, hanya mahukan anak-anaknya memacu semangat dalam keadaan serba tiada, bertarung rasa tanpa hilangnya asa.
"Saya hanya hendak mereka pandai belajar, rajin ke sekolah, berusaha lebih lagi selepas ini, sebab semua sudah lengkap, semua sudah dapat. Belajarlah pandai-pandai, janganlah sia-siakan bantuan ini. Alhamdulillah," ujar Azizah.
Dia bersama tiga anaknya yang lain dibawa ke gedung pakaian Jakel di Shah Alam untuk membeli kelengkapan sekolah termasuk pakaian dan alat tulis.
Tiga anaknya hadir hari ini, iaitu Ummi Aida, 15, Mohd Rohimin, 12 dan Mohd Nabil, 11.
Ditanya, bagaimana persiapan dibuat pada tahun-tahun sebelum ini? Ini jawab Mohd Rohimin, "Kadang-kadang pakai baju dulu."
Jawapannya itu membuatkan hati kami sebak, memikirkan hari-hari berlalu yang ditempuhi anak kecil ini.
Namun, Mohd Rohimin yang bercita-cita menjadi pensyarah, dia berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Bukan itu sahaja, mereka turut memilih pakaian dan kelengkapan sekolah untuk kakak dan abang mereka yang tidak dapat hadir bersama.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang menaja perbelanjaan ini, melihat ia adalah menjadi tanggungjawab untuk membantu.
"Kita bawa satu keluarga, kita luangkan masa satu hari, sebab esok sudah sekolah. Saya amat gembira kerana dari segi riak muka, gembira dan ceria.
"Jika semalam penuh tangisan, kita pun sebak. Hari ini susulan apa yang kita ziarah semalam, jadi kita memilih untuk membawa mereka membeli-belah hari ini," katanya.
#Azhari Shaari #Azizah Ashaari #ibu tunggal #sekolah
;