Kami tidak pernah abai kepentingan rakyat - Bernas
Astro Awani
Januari 30, 2019 10:28 MYT
Januari 30, 2019 10:28 MYT
KAMI merujuk kepada liputan berita Astro Awani pada Selasa, 29 Januari 2019 bertajuk “Kerajaan perlu pantau isu BERNAS lambat bayar pesawah – Khairuddin.”
Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ingin memberi penjelasan berhubung isu di atas.
Peranan BERNAS antara lain adalah sebagai pembeli terakhir padi, membayar subsidi harga padi kepada pesawah, menguruskan stok penimbal negara, menguruskan skim pengilang bumiputera dan memastikan kestabilan harga beras di pasaran.
Pemantauan kilang-kilang padi swasta bukanlah di bawah bidang kuasa BERNAS dan kami tidak mempunyai sebarang hak untuk campur tangan dalam urusan operasi dan urusniaga mereka.
Untuk rekod, terdapat 191 pengilang beras berdaftar di Malaysia dan BERNAS memiliki 28 buah kilang beras, manakala selebihnya merupakan kilang-kilang beras milik persendirian.
BERNAS telah dimaklumkan mengenai permasalahan yang dihadapi oleh kilang yang dinyatakan dalam laporan berita ini dalam menyelesaikan pembayaran harga padi membabitkan seramai 47 orang pesawah di kawasan Merlimau Sempang, Melaka.
Ingin kami tegaskan bahawa kilang beras tersebut merupakan sebuah kilang beras swasta milik persendirian dan bukannya kilang beras BERNAS (KBB).
Walaupun BERNAS tidak bertanggungjawab membayar hutang kilang swasta kepada pesawah, BERNAS sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi terutamanya yang melibatkan pendapatan para pesawah.
Atas dasar keprihatinan tersebut, BERNAS telah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi pihak kilang tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi yang dihadapi dan telah mengemukakan beberapa langkah penyelesaian agar pembayaran wang pesawah dapat dilakukan segera.
Untuk makluman, BERNAS akan terus memantau perkembangan isu ini.
Pada masa yang sama, adalah dinasihatkan agar para pesawah menjual hasil padi mereka di kilang-kilang beras BERNAS yang berhampiran di mana pembayaran untuk belian padi adalah dijamin oleh BERNAS, atau menjual hasil padi mereka di kilang-kilang swasta yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
Ini bertujuan bagi menjamin perolehan pendapatan yang stabil dan berterusan.
Sehinggalah hari ini, BERNAS terus melestarikan tanggungjawabnya kepada rakyat dalam mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara termasuk antaranya dalam sektor pengimportan beras, pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani, menguruskan Skim Pengilangan Padi Bumiputera, membeli padi daripada petani pada harga minimum terjamin dan bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani.
BERNAS juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) dalam memastikan kelangsungan industri.
Apa yang pasti sejak usaha penswastaan BERNAS hingga kini, kami tidak pernah sesekali mengabaikan kepentingan rakyat dan senantiasa melindungi kepentingan pesawah dan pengguna.
#beras
#BERNAS
#hutang
#kerajaan
#Khairuddin Abu Hassan
#kilang swasta
#Melaka
#Merlimau Sempang
#operasi
#Padi
#pendapatan
#pesawah
#petani
#rakyat
#subsidi