'Kami terus cari jika DNA mayat wanita reput itu bukan milik Siti Rohani'
Sinar Harian
Mac 5, 2025 14:00 MYT
Mac 5, 2025 14:00 MYT
Saiful menunjukkan gambar Siti Rohani yang dilaporkan hilang pada 8 November tahun lalu. - Foto Sinar Harian
POKOK SENA: Keluarga Siti Rohani Saad, 37, yang dilaporkan hilang sejak 8 November tahun lalu masih tidak berputus asa untuk mencarinya biarpun sudah memasuki tempoh lebih empat bulan.
Ringkasan AI
- Keluarga Siti Rohani Saad masih berusaha mencarinya selepas dia hilang sejak 8 November tahun lalu, walaupun hanya motosikalnya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris.
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan bomba dan polis selama tiga hari gagal menemui Siti Rohani, dan keluarganya kini menunggu keputusan ujian DNA ke atas mayat wanita yang ditemukan di tebing Sungai Kedah.
- Kedatangan Ramadan kali ini suram bagi keluarganya kerana Siti Rohani selalu membantu menyediakan juadah berbuka puasa, dan mereka berharap keputusan DNA dapat memberikan kepastian.
Hanya motosikal milik mangsa ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris dan dia difahamkan keluar daripada rumah seawal jam 6 pagi ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai, Alor Setar.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan oleh pasukan bomba dan polis selama tiga hari di lokasi kejadian, namun gagal menemuinya.
Abangnya, Saiful Saad, 47, berkata, kedatangan Ramadan kali ini suram buat mereka kerana adik bongsu daripada lapan beradik itu antara yang paling ringan tulang membantu membeli barang dapur dan menyediakan juadah.
Menurutnya, Siti Rohani juga selalu membawa balik lauk lebih dari tempat kerjanya di sebuah kedai makan.
“Biasanya dia paling sibuk di dapur bantu kakak sediakan juadah berbuka puasa.
"Tahun ni agak sunyi sebab dia tak ada,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Lanjut, Bukit Lada pada Selasa.
Saiful berkata, buat masa sekarang mereka sedang menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat wanita yang ditemukan oleh orang awam dalam keadaan mereput di tebing Sungai Kedah berdekatan Alor Mengkudu, Alor Setar pada 13 Januari lalu.
“Kami tengah tunggu keputusan DNA, kalau dia, kami terima, namun jika orang lain memang kami akan terus cari lagi,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Lanjut, Bukit Lada pada Selasa.
Jelas Saiful, sehari sebelum kejadian, dia telah bermimpi motosikal adiknya itu telah terjatuh ke dalam sungai.
“Sehari sebelum dia hilang, saya mimpi ternampak motosikal dalam air berwarna biru, miliknya.
"Hari kejadian saya pergi ke Pokok Sena, isteri telefon beritahu adik jatuh motosikal dalam sungai, saya pergi tengok dan terkejut,” katanya lagi.
Tambah Saiful, dia juga turut meminta bantuan kawan-kawannya termasuk merujuk kepada pengamal perubatan Islam dalam mencari Siti Rohani
Jelasnya, walaubagaimanapun usaha pencarian tersebut berhenti buat sementara waktu kerana mahu menunggu keputusan DNA tersebut. -- Sinar Harian