'Kami takkan berhenti dalam usaha mencari warga Britain hilang' - Hishammuddin
Bernama
Jun 1, 2014 07:29 MYT
Jun 1, 2014 07:29 MYT
Malaysia memberitahu United Kingdom bahawa negara ini tidak akan berhenti dalam usaha mencari warga Britain, Gareth David Huntley, 34, yang hilang di Pulau Tioman Selasa lepas, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menteri Pertahanan itu berkata isu kehilangan lelaki itu telah dibincangkan di mesyuarat dengan rakan sejawatannya dari UK, Philip Hammond di Singapura di luar sidang, Shangri La Dialogue yang baru selesai.
Hishammuddin bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat peringkat Menteri Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) kesembilan di sini pada Ahad.
Menurut siasatan Polis Diraja Malaysia, tidak ada unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kes warga Britain yang hilang itu.
Namun, pihak berkuasa akan meneruskan siasatan, katanya.
Huntley, yang dikatakan bekerja dan tinggal di Projek Juara Penyu di Kampung Juara, Pulau Tioman dilaporkan hilang setelah pergi ke Air Terjun Lubuk Teja pada hari tersebut.