'Kami tak uli guna kaki'

Agensi
Julai 23, 2018 07:48 MYT
Fazli menunjukkan tulisan yang sengaja ditular oleh individu di laman sosial. -Gambar Sinar Harian
Pemilik sebuah restoran di Taman Kemuning memohon kepada individu yang menyebarkan fitnah terhadap premisnya untuk tampil memberi penjelasan.
Mohd Fazli Rizal Anwar Khan berkata individu berkenaan didakwanya sengaja memburuk dan memfitnah bahawa kedai makannya kotor dan dicemari puntung rokok serta menyebarkan berita palsu itu di laman sosial termasuk WhatsApp, lapor Sinar Harian.
“Kelmarin ada seorang pelanggan datang kedai saya terus menuju ke kaunter bayaran dan jumpa pekerja saya di kaunter. Dia kata nasi goreng kampung dibeli dari kedai saya tercemar dan ada puntung rokok dalam nasi goreng itu lalu meminta RM500 sebagai ‘upah’ untuk tutup mulut.
“Pekerja saya panggil tukang masak wanita dan bertanya adakah dia ke masak nasi goreng tersebut, tapi kakak tu kata malam itu dia belum terima lagi tempahan untuk nasi goreng kampung, tiada pelanggan yang tempah nasi goreng kampung,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Tambahnya, sebaik sahaja perkara itu dimaklumkan, pelanggan lelaki tersebut terus keluar daripada kedai.
Menurutnya, selepas kejadian itu, dia menerima aduan mengenai sebuah akaun Facebook yang dipercayai dimiliki seorang wanita dengan memburukkan kedainya yang sudah beroperasi sejak tahun 2009.
“Wanita itu menulis perkara yang hampir sama dengan lelaki sebelum ini, kononnya nasi goreng kampung di kedainya ada puntung rokok dan saya cuba hubungi pemilik akaun tapi dia tak membalasnya.
“Dalam beberapa jam selepas itu saya dapati kenyataan tersebut telah dipadamkan. Walaupun dia sudah memadamnya tapi tindakan tersebut salah sedangkan perkara itu tidak betul serta menyebabkan perniagaan saya terkesan.
“Saya meminta dia membuat permohonan maaf secara terbuka di Facebook seperti dia melakukan fitnah terhadap kedai saya, Jika dia tidak berbuat apa-apa, kemungkinan saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya, kerana saya mempunyai bukti,” katanya.
Selain itu, Fazli juga ingin menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang kini tersebar mengenai tuduhan kononnya pekerja di restorannya menguli tepung canai menggunakan kaki.
“Sejak beroperasi saya gunakan doh roti canai yang sudah siap untuk membuat roti canai dan pekerja tak pernah uli sendiri tepung doh sebab hanya guna doh sudah siap dijual di pasaran oleh pemborong.
“Saya sangat kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab ini, saya mendesak supaya mereka ini tampil memberi penjelasan dan apa niat mereka sebenarnya. Jangan sesuka hati nak tabur fitnah, benda yang tidak betul jangan sengaja nak reka cerita,“ katanya.
#kedai makan kotor #Mohd Fazli Rizal Anwar Khan #nasi goreng kampung #puntung rokok #uli tepung canai guna kaki
;