'Kami tak tahu ada kes dera'

Sinar Harian
Disember 28, 2022 09:20 MYT
Rumah pasangan suami isteri berkenaan yang juga lokasi kanak-kanak lelaki berkenaan didera. Gambar dalam dari kiri Mohammad Riduan dan Rosli
BATU PAHAT: “Kami tak tahu adanya kes penderaan budak ni sehingga keluar di akhbar,”
Itu reaksi penduduk di Kampung Sri Pantai, Senggarang di sini, Rosli Pingii, 52, berhubung rumah pasangan suami isteri yang ditahan polis bersama tiga lagi rakan mereka kerana dipercayai mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sehingga meninggal dunia, Isnin lalu.
Menurut Rosli, rata-rata penduduk yang tinggal berhampiran dengan rumah pasangan berkenaan, memang tidak mengetahui mengenai perkara berkenaan (dera), berikutan sikap (pasangan) mereka yang tidak bercampur gaul dengan orang ramai.
Katanya, selama ini penduduk kampung juga tidak mengetahui adanya kanak-kanak itu yang juga merupakan adik bongsu kepada yang tinggal bersama pasangan berkenaan.
“Dalam perkara ini, boleh kata sebagai kes terpencillah, kerana selama ini, kami memang tak tahu ada budak yang dibela oleh pasangan ini, lagi pun mereka memang jarang berjumpa dengan masyarakat di sini.
“Mereka juga kurang berbual dengan penduduk kampung, terutamanya dengan jiran-jiran yang tinggal di kampung ini.
“Jadi kita anggap dia tidak ada di sini... walaupun ada, kita anggap macam tak ada, sebab mereka memang tak pernah bercampur dengan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Rosli berkata demikian bagi mengulas berhubung kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu yang dipercayai akibat didera lima individu yang juga rakan kakak kandungnya di sebuah rumah di Kampung Sri Pantai, di sini.
BACA: Kanak-kanak mati didera lima rakan kakak
Pada Selasa, polis mengesahkan berlaku penderaan terhadap kanak-kanak berkenaan berikutan kecederaan serius di seluruh badan terutamanya di kepala dan kaki dipercayai akibat dipukul selain dicucuh dengan objek panas.
BACA: 'Mangsa dipukul, dicucuh objek panas seluruh badan'
Kanak-kanak malang itu kemudiannya menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HIS) di sini, sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar 6.40 petang, Isnin lalu.
Sementara itu seorang lagi penduduk, Mohd Riduan Mokhsin, 24, mengakui memang jarang bertemu dengan pasangan berkenaan.
Malah katanya, kerana jarang bertemu mereka, dia juga tidak banyak mengetahui mengenai pasangan berkenaan termasuklah mengenai kes dera berkenaan.
“Memang jarang nampak dia (mereka) ni sebab jarang bergaul dengan orang... jumpa org pun jarang-jarang.
“Itu yang buat kami sampai tak tahu dan sampai boleh jadi kes (dera) macam ni di kampung ini.
“Lagi pun kami memang tak tahu dan tak nampak benda-benda macam ni (dera) berlaku... kalau nampak, takkanlah kami biarkan saja,” katanya. - Sinar Harian
#kes dera #Kanak-kanak #pasangan #meninggal dunia
;