Kami tak sabar untuk jumpa ayah - Aisyah
Bernama
Julai 9, 2014 21:38 MYT
Julai 9, 2014 21:38 MYT
"Saya tak sabar untuk berjumpa ayah dan sering memikirkan apa yang akan dilakukan apabila berjumpa ayah nanti," kata Aishah, anak sulung Azizul Raheem Awalludin iaitu pegawai Tourism Malaysia di Sweden yang dipenjara di negara itu kerana memukul anaknya.
Aishah berkata beliau bersyukur dan gembira apabila mengetahui ayahnya telahpun dibebaskan dari penjara.
"Saya macam fikir apa yang berlaku bila jumpa ayah selain sering membayangkan situasi itu dan saya tak sabar.
"Bila jumpa dia, rasa nak peluk dan ucap kami terlalu rindukan ayah," katanya kepada pemberita di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor di sini hari ini.
Azizul Raheem dihukum penjara kerana memukul keempat-empat anaknya sejak September 2010 dan telahpun menjalani hukuman penjara tiga bulan di Sweden bermula 28 Mac lepas.
Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhi hukuman penjara 10 bulan ke atas Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal.
Bagaimanapun, mereka hanya perlu menjalani satu pertiga daripada tempoh itu selepas mahkamah mengurangkan hukuman penjara berkenaan.
Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, akan dibebaskan tiga bulan lagi manakala anak mereka iaitu Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Ariff, 7, yang pada mulanya diletak di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam susulan kes itu, kemudian diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Sweden pada 30 Jan lepas.
Anak pasangan itu pulang ke Malaysia pada 31 Jan lepas dan kini dijaga ibu dan bapa saudara mereka di Kelantan.
Sementara itu, adik Shalwati, Shaleena Norshal, 43, berkata dia dan kesemua anak pasangan berkenaan akan bertolak ke Kuala Lumpur Isnin ini bagi menyambut ketibaan Azizul, yang dijangka tiba di tanah air pada 15 Julai.
"Saya dapat berita yang pihak kedutaan akan jemput dia (Azizul) setelah dia dibebaskan pada pukul 5 petang tadi.
"Jadi, kami semua akan bertolak dan akan menyambut dia (Azizul) di Kuala Lumpur tetapi tidak dapat dipastikan lagi adakah dia akan ke Kota Baharu selepas itu," katanya.
Shaleena berkata anak pasangan itu gembira apabila mendapat tahu yang ayah mereka sudah dibebaskan.
"Mereka gembira, terutama sekali Adam, yang menyambut hari lahirnya semalam (8 Julai) dan dia cakap itu merupakan hadiah terbaik dalam hidupnya," katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata Azizul dijangka pulang ke Malaysia pada 15 Julai ini.