'Kami tahu kasih abang pada mak' - Anak warga emas nafi ibunya sengaja ditinggal di R&R
Astro Awani
Jun 11, 2019 08:00 MYT
Jun 11, 2019 08:00 MYT
Anak kepada warga emas yang tertinggal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Besi menghala ke Kuantan ketika dalam perjalanan ke Terengganu menafikan abangnya melakukan perkara itu dengan sengaja.
Menjelaskan situasi yang berlaku, Batiah Mahadi berkata ketika kejadian, abangnya membawa ibunya beraya ke Terengganu.
Namun, katanya, abangnya kurang sihat dan kebetulan kakak iparnya pula sedang tidur.
“Semasa abang saya berhenti di R&R Bukit Besi, dia (abang) tidak sedar ibu keluar untuk ke tandas. Abang juga terlupa memeriksa belakang kereta dan berlalu pergi.
“Tetapi selepas menyedari ketiadaan ibu, abang saya segera berpatah balik untuk mendapatkan semula ibu,” katanya di akaun Facebook pada Isnin.
Ujar Batiah lagi, abangnya merupakan tulang belakang ibu mereka dan telah menjalankan tanggungjawab menjaganya dengan baik selama ini.
“Abang tulang belakang mak. Jual nasi lemak dengan mak. Sejak ayah meninggal 29 tahun dulu. Malahan mak manja dgn abang.
“Cuma abang tersilap kali ini. Allahu...abang memang benar-benar terlepas pandang.
“Dulu-dulu kalau kami nakal...bila mak nak pukul kami, abang akan tunggu sedangkan kami lari. Kami tahu kasih abang pada mak,” tulisnya.
Menurutnya, dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, warga emas itu selamat dijemput oleh seorang waris dan kini wanita berusia 75 tahun itu selamat di bawah jagaan keluarganya.
Mengulas mengenai tohmahan dilemparkan oleh warganet terhadap keluarganya susulan insiden tersebut, Batiah berkata, mereka sekeluarga membuat keputusan untuk memaafkan sahaja.
“Walaupun banyak sangat yang tidak betul dan pelbagai tohmahan dilemparkan kepada kami, tak apa kerana ALLAH ada.
“ALLAH sahaja tahu bagaimana kami jaga ibu. Biar Dia sahaja yang menghitung semua,” katanya.