'Kami sepatutnya bertemu pada Sabtu ini'

Harris Hardy Hakim
Februari 28, 2013 06:12 MYT
Berita kematian Setiausaha Akhbar kepada Menteri Sumber Manusia, Sivam Balan, 35 tahun sangat mengejutkan saya kerana saya sepatutnya bertemu dengan beliau Sabtu ini di Segamat.
Mendiang yang meninggal dunia dalam kemalangan membabit tiga kenderaan di Kilometer 232 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Rembau sebelum ini membantu saya untuk mendapatkan temubual khas dengan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.
Saya masih teringat bagaimana mendiang begitu teruja apabila pertama kali saya menyatakan hasrat untuk mengadakan temubual itu lebih seminggu lepas.
"Baguslah begitu bro (saudara), saya akan rancang satu program khas untuk you, supaya you dapat lihat apa yang Datuk Seri lakukan tiap-tiap minggu." katanya dengan nada yang gembira.
"You datang sini, saya akan tunjukkan seluruh kawasan Segamat pada you dan saya akan kenalkan you dengan pemimpin masyarakat di sini."
Saya merancang untuk bertemu dengan Subramaniam kerana beliau merupakan ahli parlimen Segamat, dan saya ingin mengetahui bagaimanakah persiapan beliau menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13).
Sejurus selepas mendengar berita kematian Sivam, saya terus menghubungi Subramaniam di talian peribadinya.
Subramaniam walaupun terpaksa menahan kesedihan menceritakan Sivam sepatutnya bertemu dengan beliau dalam satu majlis yang di adakan di Alor Gajah pagi ini.
"Saya sepatutnya berjumpa dengan Sivam di majlis itu. Saya datang dari Segamat tapi dia dari Kuala Lumpur dengan staff lain. Saya tahu dia terlibat dalam kemalangan apabila staff kementerian telefon saya." kata Subramaniam dalam nada hiba.
"Bila saya dapat tahu berita (kemalangan) itu, saya terus bergegas ke Hospital Tampin (tempat dimana mayat mereka dibawa)."
Subramaniam berkata beliau tidak tahu bagaimana nahas itu boleh berlaku dan masih menunggu laporan siasatan daripada pihak polis.
Saya bersama rakan-rakan yang lain sangat terasa dengan pemergian Sivam kerana beliau merupakan seorang yang baik dan komited dalam tugasnya.
Sebagai seorang setiausaha akhbar, Sivam sentiasa berusaha membantu rakan-rakan wartawan untuk mendapatkan berita serta fakta berkaitan kementerian.
Terima kasih Sivam.
#Menteri Sumber Manusia #Sivam Balan