'Kami sedang siasat kes ustaz dipukul di balai polis' - Ketua Polis Kedah
Adie Sufian Zulkefli
Februari 15, 2016 19:14 MYT
Februari 15, 2016 19:14 MYT
Polis Kedah sedang melakukan siasatan terperinci berhubung kes seorang ustaz yang didakwa dipukul, ditumbuk dan digari oleh dua anggota polis di Balai Polis Gurun pada Selasa.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung aduan yang dibuat pengadu.
"Kita sedang menunggu kertas laporan perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HBS) berhubung kecederaan yang dialami pengadu sebelum dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
"Kita turut memandang serius dakwaan tersebut dan akan menjalankan siasatan secara telus dan terperinci mengikut undang-undang yang sedia ada tanpa menyebelahi mana-mana pihak," katanya.
Justeru itu jelasnya, pihaknya telah memanggil pengadu untuk hadir ke IPD Kuala Muda pada 12 Feb lalu untuk menjalankan proses kawad cam bagi mengenal pasti anggota yang terlibat dalam kejadian tersebut.
"Bagaimanapun, pengadu tidak hadir dan dimaklumkan akan hadir pada 17 Feb ini.
"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Undang-undang Kecil 1955," ujarnya.
Pada Ahad, pengadu, Mohd Na'im Zakaria, 30, yang juga guru agama mendakwa telah digari, dicederakan serta dilemparkan dengan kata-kata kesat oleh dua anggota polis.
Bagaimanapun menerusi siasatan awal polis, hasil pemeriksaan dijalankan ke atas motosikal jenis Naza Blade yang ditunggangi pengadu, terdapat kesalahan pada nombor pendaftaran.
Selain itu saman juga telah dikeluarkan namun pengadu enggan untuk menandatangani saman tersebut.
Akibatnya, pengadu telah melakukan provokasi dan enggan memberikan kerjasama apabila ditanya lanjut mengenai motosikal tersebut sehingga mendorong terjadinya insiden tersebut.