'Kami sedang jejak saki-baki Abu Sayyaf di Malaysia' - Polis

Muhafandi Muhamad
November 19, 2018 16:07 MYT
Mohamed Farid (tiga, kiri) memeriksa barisan kawalan kehormat pada Majlis Perasmian Balai Polis Selising hari ini. Beliau diiringi Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan (dua, kiri). - BERNAMA
Polis percaya masih ada lagi saki-baki kumpulan Abu Sayyaf yang bersembunyi di negara ini selepas penahanan lapan ahli warga Filipina baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Cawangan Khas (E1) Bukit Aman, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan, berkata saki-baki kumpulan itu dipercayai berada di beberapa negeri.
Katanya, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM sedang menggiatkan usaha mengesan mereka.
"Ada lagi saki-bakinya… Cawangan Counter Terrorism masih lagi menjalankan siasatan. InsyaAllah, akan ada lagi tangkapan dalam masa terdekat.
"Setakat ini (yang dicari) kumpulan Abu Sayyaf tetapi kita tidak tolak kemungkinan ada ahli kumpulan militan lain yang bersembunyi di negara ini," kata Mohamed Farid.
Ditanya sama ada kumpulan Abu Sayyaf menggunakan orang tempatan untuk menghantar dana kepada bekas pemuzik kumpulan rock Ukays, Wan Mohd Aquil Wan Zainal atau Akel Zainal yang kini menyertai militan Daish di Syria, Mohamed Farid menjelaskan kumpulan berkenaan menggunakan pelbagai kaedah penghantaran dana tunai.
Beliau juga berkata, polis hanya akan menahan Akel Zainal apabila dia pulang ke Malaysia.
Pada sabtu lalu, media melaporkan mengenai penahanan seorang militan Abu Sayyaf yang memenggal kepala tebusan kumpulan itu.
Suspek adalah antara tujuh warga Filipina yang ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan pengganas dalam serbuan di Sabah sejak 30 Okt hingga Isnin lalu.
Turut dilaporkan, ada antara suspek dipercayai terbabit dalam usaha menyalurkan dana kepada Akel Zainal yang menyertai Daesh pada 2017 bagi tujuan membiayai kegiatan keganasan.
#Abu Sayyaf #Bukit Aman #Counter Terrorism #Daesh #militan #pengganas
;