'Kami sangat rapat,' - Adam Besar amat terasa kehilangan rakan sebilik
Adie Sufian Zulkefli
November 15, 2019 12:40 MYT
November 15, 2019 12:40 MYT
"Arwah rakan sebilik. Kami sangat rapat.”
Demikian luahan pilu Lans Koperal Izzmann Adam Ismail, rakan kepada Konstabel Adam Che Aziz, yang maut dalam kemalangan ketika menjalankan tugas di Kampung Kubang Pasu dekat Hosba, di sini, awal pagi tadi.
Kedua-duanya berusia 25 tahun dan kebetulan mempunyai nama gelaran yang sama.
Izzmann dipanggil Adam Besar sementara Adam digelar Adam Kecil.
Izzmann berkata dia amat terasa kehilangan Adam, rakan sebilik dan rakan setugas yang dikenali sejak setahun lalu.
“Saya sedih dengan pemergian Adam," tambahnya.
Katanya kepada pihak media, kali terakhir mereka berhubung ialah lewat petang Khamis.
Ketika itu, katanya, mangsa tidak banyak membalas kiriman WhatsApp yang dihantarnya.
"Semalam, kawan-kawan yang dalam operasi kata, dia (Adam) macam terlebih sikit, kerja semangat. Dia selalunya jenis senyap, tak cakap banyak, rajin bantu orang," kata Izzmann.
Dalam kejadian pada jam 2 pagi ini, Adam meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan susulan motosikal yang ditunggangnya terbabas.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata, ketika kejadian mangsa yang bertugas di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sedang menjalankan tugas dalam Ops Samseng Jalanan.
Katanya, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai terbabas ke kanan jalan arah bertentangan, lalu terseret serta terlanggar kabel elektrik di tepi jalan dan terus terlanggar ke tiang lampu di kanan jalan.
Ketika itu mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Hosba menghala ke Kampung Darat.
#Adam Che Aziz
#Izzmann Adam Ismail
#jenazah
#kemalangan
#Kubang Pasu
#mangsa
#maut
#meninggal dunia
#operasi
#polis
#polis trafik
#rakan baik
#WhatsApp