'Kami rayu PM, Menteri Wilayah tolong campur tangan, bantu kami' - Penduduk Kg Sg Bharu
Fareez Azman
Januari 8, 2022 20:37 MYT
Januari 8, 2022 20:37 MYT
KUALA LUMPUR: "Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, tolong kami."
Demikian luahan 37 pemilik rumah teres Kampung Sungai Bharu, Kampung Baru di ibu negara yang mahukan pembelaan setimpal diberikan kepada mereka berhubung projek usahasama dengan sebuah syarikat hartanah dalam membangunkan kawasan itu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Lele Suzana Kudari, 52, rata-rata mereka mahukan agar sesi pendengaran semula Kampung Sungai Bharu berhubung projek usahasama itu yang dijadualkan 19 dan 31 Januari depan ditangguhkan.
Tuntut tangguh sesi pendengaran kedua
Jelasnya, penangguhan itu dituntut susulan ketidakpuasan hati penduduk yang menyifatkan Perjanjian Usahasama Pemilik dan Pemaju bakal merugikan pemilik tanah berkenaan.
"Semua pemilik rumah teres yang telah mendapat warta dan yang belum diwartakan menuntut sesi pendengaran kedua oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) yang dijadualkan pada 19 Januari 2022 sehingga 31 Januari 2022 ditangguhkan.
"Ia selari dengan janji yang telah dibuat oleh Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan ketika pertemuan bersama Jawatankuasa Bertindak pada 6 Disember 2021 di Pejabat Menteri di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan janji yang sama telah dibuat oleh Menteri Wilayah pada sesi Kamar Khas Parlimen pada 13 Disember 2021," jelasnya.
Bagaimanapun, ujarnya penduduk lebih terkejut apabila mendapati sesi pendengaran semula itu diteruskan oleh PTGWPKL.
"Namun kami agak terkejut kerana sesi heraring kedua tetap akan diteruskan oleh PTGWPKL sedangkan janji Menteri masih belum dilaksanakan.
"Lebih mengecewakan PTGWPKL mahu meneruskan sesi pendengaran kedua atas desakan pihak pemaju," katanya lagi.
Malah tambahnya, penduduk juga tidak begitu yakin akan kemampuan syarikat pemaju terbabit kerana didakwa tidak mempunyai rekod dalam bidang berkenaan.
"Maka kami khuatir pembangunan semula Kampung Sungai Bharu tidak akan berjaya," kata Lele Suzana.
Mahu pampasan setimpal
Mengulas lanjut isu tersebut, ujar Lele Suzana, kadar pampasan yang diberikan oleh pemaju tidak setimpal dengan nilai semasa.
"Kadar pampasan mestilah setimpal dan mengikut harga nilaian semasa.
"Tanah Kg Sg Baru adalah tanah berstatus leasehold (pajakan) dan masih berbaki 57 tahun lagi bukan tanah berstatus rizab Melayu.
"Juru nilai swasta yang dilantik telah menilai tanah Kg Sungai Baru tidak kurang dari RM1,500 per kaki persegi dan tidak termasuk nilaian bangunan di atas tapak tanah," tegasnya lagi.
Malah beberapa tanah lot di kawasan itu sebelum ini juga telah dibangunkan bagi tujuan pengangkutan awam juga dibeli dengan harga RM1,250 kaki persegi.
"Prasarana telah mengambil beberapa lot tanah di kawasan Kg Baru bagi pembinaan MRT dan telah membayar pampasan lebih kurang RM1,250 per kaki persegi. Tujuan untuk kegunaan awam.
"LRT telah mengambil dua plot tanah di Kg Sungai Baru dan membayar pemilik teres dengan nilaian lebih kurang RM 500 per kaki persegi pada akhir tahun 1980’an," ujarnya lagi.
Jelasnya, penduduk tidak menolak pembangunan, sebaliknya mahukan pembelaan setimpal.
Dakwa perjanjian usahasama berat sebelah
"Kami mendapati banyak klausa dalam Perjanjian Usahasama Pemilik dan Pemaju adalah berat sebelah dan merugikan pemilik.
"Pemaju telah mengaku bahawa secara terangan mendakwa mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam kerja kerja yang berkaitan dengan pembinaan dan projek memajukan tanah tanah," kata Lele Suzana lagi.
Malah, jelasnya pemaju akan mencagar tanah pemilik kepada institusi kewangan bagi mendapatkan dana membiayai projek pembangunan semula Kampung Baru.
Ia sekali gus mengundang persoalan penduduk, apakah yang akan terjadi kepada nasib mereka sekiranya syarikat terbabit menghadapi masalah kewangan dan gagal menyiapkan projek kerana tanah telah dicagarkan kepada pihak bank.
"Apabila syarikat ingin mencagarkan tanah ke bank menunjukkan mereka tak mahu menanggung risiko sekiranya projek ini gagal.
"Yang bakal menanggung segala kerosakan dan kerugiaan adalah pemilik teres," katanya.
Justeru, katanya kesemua penduduk merayu agar kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dapat membantu mereka.
Malah, ujarnya ada penduduk yang kini trauma memikirkan nasib yang bakal menimpa mereka jika tiada pembelaan setimpal diberikan.
"Gangguan perasaan oleh sesetengah warga emas yang tidak mengetahui nasib tentang kediaman mereka, impian mereka membesarkan rumah kediaman bagi diwarisi oleh anak cucu hanya tinggal kenangan dan tidak kesampaian.
"Sehubungan itu, kami, menuntut perhatian dan campur tangan Perdana Menteri, Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen kawasan terutamanya agar memastikan agensi yang terlibat seperti PTG, PKB, DBKL bukan hanya memikirkan soal ekonomi semata-mata.
"Tapi harus juga mengambil berat tentang soal penindasan, kezaliman dan penganiayaan kepada pemilik yang mempunyai geran yang sah dan kami bukan setinggan," katanya lagi.
Terdahulu, 37 pemilik rumah teres di Kampung Sungai Bharu mengadakan sidang media di Dewan Orang Ramai Kg Sg Bharu pada Sabtu.
#Kampung Baru
#Kampung Sungai Bharu
#Perdana Menteri
#Menteri Wilayah Persekutuan
#ismail sabri yaakob
#Shahidan Kassim
#Lele Suzana Kudari
#PTGWPKL