'Kami pun terhimpit, harga sayur dan ayam dari pembekal mahal' - Peniaga
Fareez Azman
November 27, 2021 18:00 MYT
November 27, 2021 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Isu kenaikan harga barangan telah membawa kepada rungutan dalam kalangan masyarakat di seluruh negara, termasuk para peniaga.
Justeru, Astro AWANI telah meninjau Pasar Jalan Raja Bot di Chow Kit bagi mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung isu kenaikan harga barangan asas itu.
Menurut Ah Seng, 51, yang merupakan seorang peniaga sayur sejak 30 tahun lalu, kenaikan harga sayur-sayuran import amat merunsingkan.
Tambahnya, kenaikan harga itu berlaku sejak Oktober lalu dan terus mencatatkan kenaikan dari semasa ke semasa sehingga menyukarkan peniaga.
"Kita ikut harga sana (pasar borong), kalau sana naik (harga) kita naik, sana turun sini turun. Kalau harga standard lagi senang jual, orang berniaga atau makan dekat rumah tidak perlu keluar wang banyak.
"Kalau barang mahal sangat kita kena buat aduan… ramai orang tak faham, dia cakap kita cekik darah, untung banyak.
"Kenaikan harga ini, bukan peniaga macam kami boleh kawal, kalau tidak saya dah kaya dah. Ini tengok barang, ada yang naik dari bulan Oktober lagi, dia naik sikit-sikit masuk 18 November banyak sayur macam lobak merah, bunga kobis… barang import naik harga dengan banyak," jelasnya.
Alasan harga minyak naik
Katanya, alasan yang diberikan pemborong ialah kenaikan harga barangan adalah disebabkan harga petrol dan diesel mengalami kenaikan.
"Bila cakap mahal sangat (harga sayur), pemborong dan pembekal cakap minyak diesel naik harga, petrol naik harga, lori punya tayar naik harga, tak boleh buat apa.
"Kita kena bayar semua benda walaupun mahal, terpaksalah, janji masih boleh hidup, okaylah," ujarnya lagi.
Harga naik luar biasa
Kami bertemu dengan seorang lagi peniaga, Heng Weng Heng, 42, yang turut meluahkan rasa yang sama.
Malah, menurutnya ada sayur yang meningkat harga dua kali ganda.
"Sudah satu bulan (kenaikan harga), sawi, kobis bunga, brokoli, lobak merah, kangkung, bayam dan kacang antara yang naik (harga).
"Saya tak tahu kenapa mahal, mungkin kurang barang (stok). Pasar borong semua naik, kita ikut sahaja. Pelanggan bising kenapa barang mahal, kita beli mahal jual pun mahal.
"Sekarang kacang RM9 dulu RM6, lobak merah RM5 dulu RM3.50, dia naik RM2… sangat tinggi. Brokoli sekarang RM15, dulu RM10… paling mahal pun RM12. Kobis bunga lagi tinggi, RM16, dulu baru RM7 hingga RM8,” jelasnya lagi.
Saban hari, rungutan diterimanya oleh pembeli yang rata-rata marah dengan kenaikan harga itu.
Namun sebagai peniaga, beliau cuba sedaya upaya untuk menjelaskan situasi sebenar.
Harga ayam meningkat RM9 sekilogram
Tidak hanya peniaga sayur, malah peniaga ayam juga turut terkesan dengan kenaikan harga.
Muhammad Arif Ali Amran, 23, ketika ditemui Astro AWANI turut menyatakan rasa hairan dengan kenaikan harga yang tidak munasabah.
Ujarnya, dalam tempoh setahun, lebih tiga kali harga ayam dari pembekal naik.
"Sekarang makin naik (harga), kami nak berniaga pun takut sebab harga mendadak sangat.
"Dulu beli RM7 sekilogram, sekarang sampai RM9 sekilogram. Agak susah sikit, sebab pembeli tengok makin susah dengan harga RM9 ini mahal sangat.
"Memang orang bising kenapa mahal, kita pun jawab tak boleh buat apa memang harga macam ni, sejak tiga bulan lalu lepas naik, naik dan naik," katanya lagi.
Meskipun terpaksa berdepan dengan kecaman pembeli, namun bagi Muhammad Arif, beliau mahukan agar kerajaan dapat menangani isu kenaikan harga ayam.
Tegasnya, ia bukan hanya mengakibatkan pembeli tertekan, malah peniaga kecil sepertinya turut tertekan gara gara harga ayam yang melambung tinggi.
"Saya sebagai penjual minta tolong orang atasan dapat tolong kami peniaga kecil macam ini.
"Tolong kawal harga sikit lah, kami dah tanggung susah macam ini, orang atas tolong bertanggungjawab juga lah," keluh beliau.