Kami pandang serius isu DNA babi - Cadbury

Bernama
Mei 25, 2014 20:04 MYT
Cadbury beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang melakukan siasatan
Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd memandang serius isu DNA babi yang dikesan di dalam dua produknya dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang melakukan siasatan.
Ketua Unit Hal Ehwal Korporatnya Raja Zalina Raja Safran berkata siasatan itu dianggap sebagai satu keutamaan yang perlu disegerakan memandangkan isu halal amat penting dalam kalangan masyarakat Islam.
"Aspek halal juga teramat penting bagi syarikat ini. Kami serius dalam memastikan semua produk kami yang dikeluarkan di Malaysia halal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya syarikat itu telah menarik balik dua produknya iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov, 2014) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan, 2015) dengan serta-merta.
"Kami juga memberi jaminan kepada pengguna semua produk lain yang dikeluarkan di sini tidak terbabit dengan ujian berkenaan," katanya.
Semalam Ketua Pengarah Kesihatan datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan dua produk terbabit mengandungi DNA babi dan hasil analisis itu tersebar luas menerusi media sosial.
#Babi #cadbury #cokelat #Halal #JAKIM
;