Kami pandang ke hadapan, untuk bangunkan negara - Alumni MRSM

Astro Awani
September 16, 2019 08:03 MYT
Sebahagian daripada bekas pelajar yang menghadiri Majlis Pertemuan Semula Alumni Pelajar MRSM kumpulan 1972-1976, di Puchong, pada Ahad. - Astro AWANI
Pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara maju bukan hanya dipacu dalam sektor ekonomi semata mata. Sebaliknya, pendidikan menjadi aspek penting dalam membangunkan modal insan negara.
Bagi kumpulan pertama pelajar Maktab Sains Mara (MRSM), mereka memiliki tanggungjawab untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negara.
Menurut Presiden Alumni MRSM tahun 1972, Datuk Jamaludin Non, menjadi salah seorang pelajar MRSM kumpulan pertama sejak institusi itu diwujudkan, banyak mengubah kehidupannya.
Tanggungjawab yang dipikul sebagai pelajar 'kumpulan eksperimen' itu, katanya, memberinya persepsi dan semangat untuk membantu membangunkan negara.
"Kami ketika itu datang dari kampung, ibu bapa hanya penoreh getah. Malah tenaga pengajar ketika itu pun berasal dari kampung. Ketika itu, pengagihan kekayaan tidak seperti sekarang. Ada yang terlalu kaya dan ada yang terlalu miskin.
"Namun, matlamat kami (pelajar) semua sama, iaitu menuntut ilmu untuk membangunkan negara," katanya pada sidang media Majlis Pertemuan Semula Alumni Pelajar MRSM kumpulan 1972-1976, di sini, pada Ahad, yang berjaya mengumpulkan 78 orang bekas pelajar.
Jamaludin berkata, selepas tamat sekolah di MRSM Seremban, beliau menyambung pengajian di sebuah universiti di Australia dalam bidang kejuruteraan.
Baginya, perjuangan tidak pernah selesai selagi ilmu dan sumbangan yang dicurahkan diperlukan di negara ini.
Pengalaman sama turut dikongsi seorang lagi alumni MRSM, Zahir Hassan, 60 tahun.
"Ketika kami memasuki MRSM, hanya ada lima orang guru bumiputera. Ada guru dari kaum lain, juga dari Amerika Syarikat.
"Tetapi, pada masa itu, kami tidak rasa apa-apa. Tidak ada masalah perkauman, sungguhpun peristiwa 13 Mei ketika itu, baru tiga tahun berlalu.
"Kami pandang ke hadapan, untuk membangunkan negara, kerana kami sedar akan peranan yang diletakkan di bahu kami,” jelas Zahir.
Tambahnya, peranan mereka bukan hanya sebagai pelajar, malah menjadi tanggungjawab dan model kepada rakyat, untuk membangunkan negara dari sudut pendidikan.
Selepas menamatkan persekolahan, kesemua mereka melanjutkan pelajaran di peringkat universiti di dalam dan luar negara, dalam pelbagai bidang, termasuk kedoktoran, kejuruteraan dan keusahawanan.
Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, kumpulan alumni MRSM ini, yang terpisah selepas masing-masing menamatkan Tingkatan 5 pada 1976, kembali bertemu dan berkongsi pengalaman masing-masing.
Mereka yang pernah dianggap sebagai 'tikus makmal' pendidikan Malaysia satu ketika dahulu, kini berupaya memainkan peranan masing-masing dalam pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
MRSM ditubuhkan pada 1972 dengan maktab yang pertama dibina di Seremban.
Objektif pengenalan MRSM ialah untuk menambahkan bilangan bumiputera profesional yang mampu berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi, dengan pengkhususan kepada membantu golongan kurang berkemampuan, terutama dari luar bandar.
#Alumni #bekas pelajar #Bumiputera #Hari Malaysia #Malaysia #MARA #MRSM #pelajar #pendidikan #sekolah #Seremban #tanggungjawab
;